HomeIsu tempatanLebih 5,000 pengunjung meriahkan Karnival Baurung-Urung

Lebih 5,000 pengunjung meriahkan Karnival Baurung-Urung

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU : Lebih 5,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Baurung-Urung yang julung kali diadakan selepas ia dijenamakan semula menerusi penganjuran Pesta Gambus sebelum ini.

Karnival yang diadakan selama dua hari itu dianjurkan Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS) dan telah dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Pelbagai program diadakan sepanjang karnival berlangsung antaranya Anugerah Tokoh Anak Brunei; penerbitan buku kajian para pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengenai seni budaya masyarakat Brunei di Sabah dan pertandingan lirik dan lagu etnik Brunei.

Turut diadakan Pertandingan ‘Menumpah Ambuyat’; pelancaran Yayasan Dangsanak Sabah (YDS); pameran sejarah, kegiatan dan hasil kraf dan makanan masyarakat Brunei sekaligus pameran jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS); lestari seni Islami dan persembahan artis Fauziah Gambus serta seniman Opick.

Karnival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri; kementerian serta agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, karnival yang dijenamakan semula itu mengabungkan pelbagai aktiviti termasuk ekonomi; pendidikan; ilmuan; tradisi dan budaya.

“Kita melihat sambutan yang diterima sepanjang dua hari ini sangat memuaskan. InsyaAllah kita akan berusaha membuat ‘post mortem’ selepas ini bagi menambah baik, apa yang perlu kita kembangkan dan perluaskan.

“Kita juga akan mula memperkasa tabung YDS yang mana ini sangat penting bagi membantu dari sudut kebajikan; penyelidikan dan membantu persatuan diperingkat daerah termasuklah membantu masyarakat kita dalam kalangan masyarakat Brunei,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan karnival berkenaan di SICC di sini hari ini.

Mohd Arifin yang juga Presiden PMBS berkata, pihaknya juga akan menjalin kerjasama dengan Kementerian atau Jabatan berkaitan di negara Brunei Darussalam bagi mencari persamaan dalam mengembangkan pelbagai perkara khususnya dalam kalangan masyarakat Brunei di negeri ini.

“Hari ini juga kita melihat pertandingan masakan tradisi iaitu Ambuyat dimana ini juga boleh dikembangkan dan dipromosikan menjadi salah satu daripada sumber pendapatan, menu ini juga sesuai untuk dijadikan hidangan di restoran dan sebagainya.

“Kita juga mahu masyarakat Brunei ini menjadi antara satu wadah untuk menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Sabah kerana keharmonian antara kaum di negeri ini sentiasa baik.

“Kerana kita berada dalam Keluarga Malaysia yang mana Sabah sebagai salah satu contoh baik untuk Keluarga Malaysia dimana kita masih bersatu dalam keharmonian luar biasa,” katanya. – SABAH MEDIA / EAW

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular