PRU15: Ketua Menteri perhalusi cadangan kepulangan warga Sabah di Semenanjung balik mengundi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sedang memperhalusi cadangan kepulangan mahasiswa serta warga Sabah yang belajar ataupun tinggal di Semenanjung supaya pulang seterusnya menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang ini.

Hajiji berkata, beberapa pihak ada mencadangkan mengenai cara untuk memudahkan rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung yang layak mengundi untuk pulang mengundi.

“Ini adalah cadangan dari beberapa pihak terutama daripada siswa, siswi dan rakyat Sabah yang tinggal di Semenanjung yang mahu pulang untuk mengundi.

“Perkara ini akan diperhalusi setakat ini belum ada apa-apa kita dapat umumkan tapi kita mahu juga mereka menunaikan hak mereka untuk mengundi sebagai rakyat ataupun sebagai pengundi dalam PRU15 akan datang ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) di Pusat Konvenseyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, setakat ini Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang sudah hampir mencapai sasaran sebanyak 600 komputer riba diserahkan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Sabah yang layak pada tahun ini.

Dalam pada itu Mohd Arifin turut memaklumkan bahawa tidak ada sebarang laporan mengenai penerima menjual komputer riba yang diperolehi dari bantuan BAIK setakat ini.

“Setakat ini belum ada laporan mengenai pelajar IPT Sabah menjual komputer riba yang diterima dari bantuan BAIK seperti yang dilaporkan di negeri lain.

“Mereka yang menerima bantuan BAIK ini adalah mereka yang sangat memerlukan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *