HomeUtamaSEMESTA platform mahasiswa Sabah di seluruh negara

SEMESTA platform mahasiswa Sabah di seluruh negara

Read Time:2 Minute, 58 Second

KOTA KINABALU: Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) yang dilancarkan hari ini, akan memayungi persatuan-persatuan mahasiswa Sabah di seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, SEMESTA ini juga dapat dijadikan platform bagi mahasiswa menyuarakan pandangan, idea dan cadangan untuk pembangunan serta kemajuan negeri Sabah.

“Saya yakin dan percaya, penubuhan SEMESTA akan dapat dikembangkan ke luar negara bagi menyantuni para pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di luar Malaysia. Penubuhan SEMESTA ini juga akan memberi manfaat kepada semua mahasiswa Sabah melalui penyaluran informasi mengenai dasar-dasar kerajaan negeri.

“Penyaluran informasi yang betul dan tepat adalah amat penting bagi memberi kefahaman kepada mahasiswa mengenai usaha-usaha kerajaan negeri dalam memperkasakan modal insan di negeri ini.

“Hasrat penubuhan SEMESTA telah saya umumkan dalam satu majlis bersama pelajar-pelajar Sabah di Semenanjung pada bulan April lalu. Alhamdulillah, hasrat penubuhan SEMESTA telah dapat direalisasikan dan akan kita lancarkan hari ini,” katanya ketika melancarkan SEMESTA di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini hari ini.

Ketua Menteri mengumumkan hasrat penubuhan SEMESTA dalam Sambutan Nuzul Al-Quran dan Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang telah dihadiri lebih daripada 1,000 orang mahasiswa Sabah bertempat di Setia City Convention Centre Kuala Lumpur pada 18 bulan April lalu.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan mengambil berat mengenai kebajikan dan keperluan semua mahasiswa Sabah sama ada di dalam mahupun luar negara kerana mereka inilah yang akan meneruskan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Justeru katanya, dalam usaha untuk memperkasakan modal insan di negeri ini, kerajaan negeri telah melaksanakan beberapa program bantuan pendidikan di bawah Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan dengan peruntukan keseluruhannya sebanyak RM35 juta pada tahun ini.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keperluan kewangan pelajar golongan B40 terutama bagi membiayai pendaftaran ke IIPT.

Justeru, pelbagai bantuan telah dilaksanakan kerajaan termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) yang diperkenalkan pada tahun lalu.

“Semua bantuan pendidikan ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang. Pelbagai bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk membiayai pendaftaran anak-anak ke IPT,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata bagi bantuan BUDI, ini membabitkan bantuan sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dan Matrikulasi, manakala sebanyak RM2,000 untuk pengajian di peringkat Ijazah.

“Setakat ini, seramai 2,669 permohonan telah diluluskan daripada lebih kurang 5,000 orang yang dijangka akan menerima faedah bantuan ini dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” katanya.

Selain BUDI, bantuan pendidikan lain yang diberi oleh kerajaan negeri ialah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang menyasarkan pelajar Sabah dari golongan e-kasih yang sedang belajar di IPT dan tidak berkemampuan untuk membeli komputer. Setakat ini seramai 325 pelajar mendapat manfaat melalui bantuan ini dengan sasaran keseluruhan lebih kurang 560 orang.

Bantuan lain ialah Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) untuk anak-anak yang lahir tahun 2022, kesemua inisiatif ini pasti akan memanfaatkan anak-anak Sabah secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, Hajiji mahu semua inisiatif pendidikan ini akan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan seterusnya dapat meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan
di negeri ini.

“Kerajaan negeri memberi bantuan pendidikan dari seawal bayi yang baru lahir hinggalah untuk meneruskan pengajian ke IPT di dalam atau luar negara,” katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan bantuan BAIK kepada pelajar IPT dan bantuan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) kepada empat penerima.

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan, Datuk Dr Mohd Arifin Arif dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu SMM, klip video ADUN disifatkan lebih kepada ‘sakit hati’ dan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular