Jelajah SMJ KSTI dilaksana tahun depan di daerah terpilih

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah akan mengadakan jelajah Sabah Maju Jaya (SMJ) KSTI di beberapa buah daerah terpilih di seluruh negeri ini tahun depan.

Setiausaha Tetap KSTI Datuk Zainudin Aman berkata, ia merupakan antara program yang dirancang dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) selain penganjuran Karnival Sains Sabah (KSS).

“InsyaAllah program ini kita akan teruskan dari masa ke semasa dan antara lain selain daripada program KSS yang akan kita terus, pada tahun hadapan kita merancang untuk mengadakan jelajah SMJ KSTI di beberapa daerah yang terpilih di seluruh negeri Sabah.

“Hasrat kami adalah untuk membawa semua program-program berkenaan pembudayaan STI kepada masyarakat di kawasan daerah-daerah khususnya daerah-daerah yang jauh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutusan KSS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Terdahulu beliau mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan.

Zainudin berkata, pihaknya berharap dengan kerjasama semua pihak ianya akan dapat menyemarakkan lagi semangat para pelajar untuk mengambil bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Apa yang berlaku pada hari ini, kedudukan pelajar-pelajar Sabah yang mengambil bidang STEM agak menurun dari masa ke semasa dan perkara ini agak membimbangkan.

“Sebab itu kita bekerjasama dengan semua pihak sama ada di peringkat nasional atau negeri supaya program-program berkaitan STEM dapat kita perbanyakkan dari masa ke semasa,” katanya.

Sementara itu pemenang Johan bagi pertandingan video digital (Sekolah Menengah) bagi sekolah bandar yang dimenangi Brenda Hendry dan Cliearra Gustian mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St John Beaufort berasa syukur dengan kemenangan yang dicapai.

Brenda berkata, ini merupakan pencapaian yang membanggakan apabila kumpulan mereka dinobatkan sebagai johan di peringkat negeri.

Brenda Hendry dan Cliearra Gustian bersama guru pengiring mereka

“Kami sangat berbangga atas pencapaian ini kerana kami pernah mengikuti STEM sebelum ini tapi kami ini sangat-sangat gembira dan bersyukur, kami tidak pernah menjangka boleh johan seperti ini.

“Kami juga berharap agar program seumpama ini akan terus diperbanyakkan lagi pada masa akan datang agar ia dapat diikuti oleh semua pelajar khususnya peringkat sekolah,” katanya. – SABAH MEDIA / EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *