Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah, Datuk Matbali Musah tidak menjangka beliau adalah antara senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Matbali yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pencalonan beliau untuk bertanding di kerusi Parlimen P.178 Sipitang merupakan satu tanggungjawab besar yang harus dipikul dan berusaha memberi keyakinan memastikan rakyat di kawasan itu terus menyokong kepimpinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) untuk memperjuangkan hak-hak rakyat di negeri ini.
“Bagi saya ini bukanlah satu kebanggaan tetapi ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang besar kita pikul tetapi saya berharap mudah-mudahan pada pilhan raya ini kita akan menang.
“Banyak perkara yang kita perjuangkan barangkali tercicir tetapi walau bagaimanapun, kita tetap akan meneruskan kesinambungan kepimpinan kawasan Parlimen Sipitang ini, kita tidak menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita tetap akan memastikan kita akan suarakan, lontarkan apa jua isu permasalahan di kawasan ini kepada pihak-pihak berkenaan khususnya di peringkat persekutuan bagi menangani dan mengatasi segala permasalahan yang kita hadapi selama ini.
“Justeru, saya merayu kepada seluruh rakyat di Parlimen Sipitang supaya dapat bekerjasama dan membantu untuk memastikan kemenangan ini kerana kita perlukan sokongan rakyat, itu yang paling penting,” katanya ketika ditemui pemberita Sabah Media selepas Majlis Pengumuman Senarai Calon GRS-BN di Magellan Sutera Ballroom, di sini pada Rabu.
Beliau yang juga ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan yang sebelum ini dan yang menjadi Ahli Parlimen di Sipitang.
“In sha Allah kita akan meneruskan kesinambungan dan memohon kerjasama bekas pemimpin ini untuk menggarap langkah serta memastikan kolaborasi muafakat dapat diteruskan,” katanya.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Sipitang Datuk Yamani Hafez Musa yang juga anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, bagaimanapun tidak dicalonkan semula bagi kerusi itu pada PRU15 ini.