KOTA KINABALU: Pengundi baharu khususnya di Parlimen Sepanggar diseru agar menunaikan tanggungjawab dan membuat keputusan dengan sebaiknya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sepanggar Datuk Yakub Khan berkata, proses pengundian itu juga akan dapat membantu membina sebuah negara yang lebih stabil.
“Kepada pengundi-pengundi yang berada di Sepanggar, marilah keluar beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab kita sebagai pemilih khususnya kepada pengundi pertama kali khasnya anak-anak muda.
“Nikmatilah pengalaman sebagai pengundi ini namun biarlah membuat keputusan yang waras, keputusan yang membolehkan kita membina negara demi masa depan anak-anak mud akita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selepas pengumuman rasmi pencalonan di Pusat Pembelajaran Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.
Yakub bakal berdepan penyandang Dato Mohd Azis Jamman yang mewakili Parti Warisan (WARISAN) dan tiga lagi calon lain iaitu Pakatan Harapan (PH) Mustapa Sakmud; Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Yusof Kunchang dan Jumardie Lukman yang bertanding atas tiket Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).
Dalam pada itu, Yakub berkata, beliau akan turun berkempen sekerap yang mungkin bagi berjumpa para pengundi di Parlimen Sepanggar.
“Saya yakin dan percaya semua calon-calon mempunyai visi dan misi masing-masing. Justeru itu saya akan turun berkempen sekerap yang mungkin untuk berjumpa seberapa ramai pengundi di Parlimen Sepanggar bagi menyatakan hasrat dan impian saya.
“Sebagai calon, saya akan menyahut cabaran dan menerima tawaran yang diamanahkan bagi memastikan perjuangan BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini akan berjaya dicapai bersama,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW