Oleh NICK ABDUL RAHMAN
SANDAKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata insiden dalam video yang tular di media sosial membabitkan bapanya itu hanya permainan sentimen.
Katanya, tidak ada kekecohan yang berlaku dan ianya hanya permainan sentimen untuk dijadikan isu.
“Saya harap kita berkempen dan mendekati rakyat secara aman dan telus. Usah dibangkitkan unsur atau elemen sentimen yang sensitif dan mampu mengguris mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini bagi mengulas isu video yang tular mendakwa bapanya hadir program kempen parti lain.
Jelas Khairul Firdaus lagi, kematangan berpolitik adalah kunci kepada kematangan seseorang ahli politik berdepan dengan rakyat.
“Semoga proses kempen dan segala usaha berjalan lancar. Janganlah kita timbulkan perkara yang tidak sepatutnya dan mampu menjejaskan keharmonian serta kematangan kita,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, hubungan baik bersama Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga terjalin sejak awal dan tidak bermusuh.
“Hubungan persahabatan ayah saya bersama Shafie sudah terjalin dan umpama keluarga. Tidak ada niat untuk bermusuh kerana sudah berkenalan lama,” katanya. – SABAH MEDIA