GRS lancar Manifesto PRU15 beri keutamaan untuk kestabilan politik Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:4 Minute, 9 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Video YUSOF MOHAMAD/ Foto SHANECELEY SABINUS, IVAN VALENS EVERIS

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan Manifesto GRS dengan memberi keutamaan untuk kestabilan politik yang merangkumi 13 tunjang utama dan digubal dengan mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat dalam perkara-perkara yang dianggap penting untuk semua sebagai manifesto Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Hajiji merakamkan gambar kenangan bersama parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, manifesto GRS baru dilancarkan dengan memberi keutamaan untuk kestabilan politik dengan menawarkan empat teras utama iaitu pertama mengutamakan Sabah, kedua, melangkah ke hadapan, ketiga, bergerak maju dan yang keempat, bersatu, penyatuan ini adalah amat penting.

“Jadi itulah teras utama yang kita tawarkan kepada rakyat untuk memilih GRS, teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang kita gunakan kerana ini adalah penting untuk kestabilan politik di Sabah dapat memacu ekonomi negeri, jadi inilah perjuangan kita.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

“Ia juga adalah kesinambungan yang kita akan teruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) seperti mana kerjasama kita dengan pilihan raya yang lepas apabila kita mendapat mandat daripada rakyat kita tubuhkan kerajaan dengan BN dan GRS dalam pilihan raya umum yang lalu dan juga Pilihan Raya Umum ke-15 ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Manifesto Parti Gabungan Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji berkata, dengan berpandukan empat teras perjuangan GRS ini, maka Manifesto ini bermula dengan;

Pertama: Memperkasakan ekonomi negeri dan rakyat Sabah menerusi tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan – antaranya kita akan menarik lebih ramai pelabur untuk membangunkan sektor pertanian (huluan), memantapkan jaminan keberhasilan petani, nelayan dan penternak, menggalakan pertanian moden, menubuhkan pusat pemasaran sektor pertanian dan pemberian insentif. Dalam sektor perindustrian pula, kita akan menarik pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran dan memacukan pertumbuhan ekonomi. Manakala dalam sektor pelancongan, kita akan memanfaatkan kekayaan flora dan fauna, menggalakkan penglibatan usahawan dalam agropelancongan, memperkenalkan produk baharu pelancongan, sekaligus menarik lebih ramai pelancong dari luar datang ke Sabah.

Kedua: Memperkasakan pengurusan sumber tenaga untuk Kerajaan Negeri Sabah mengambil semula pengurusan SESB. Disamping meneroka lebih banyak sumber tenaga baharu atau tenaga yang boleh diperbaharui, khususnya yang berasaskan teknologi hijau, bagi memastikan bekalan tenaga yang mesra alam serta mencukupi.

Ketiga: Meneruskan usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri Sabah daripada Persekutuan – GRS akan meneruskan usaha menuntut hak-hak berdasarkan artikel 112 (b), 112 (c) dan Jadual 10 Perlermbagaan Persekutuan dan berlandaskan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63)

Keempat: memastikan kerajaan Persekutuan melaksanakan tanggungjawab dalam mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah, khususya dalam kawasan Esszone, mempertingkatkan fasiliti pendidikan dengan menaiktaraf sekolah-sekolah yang serba daif, serta menambah baik kemudahan kesihatan di seluruh negeri.

Kelima: Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat – terus memperkasa wanita dalam bidang keusahawanan, lebih ramai wanita sebagai pembuat dasar, memelihara kebajikan ibu tunggal dan balu, menyediakan bantuan berterusan kepada ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya dan warga emas.

Keenam: menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara – menyediakan peruntukan khas belia dalam bidang keusahawan, menambah bilangan penglibatan belia sekurang-kurangnya 30 peratus dalam pengubah dasar

Ketujuh: memperkasakan urus tadbir perkhidmatan awam Sabah – antaranya meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, menambah baik kemudahan perkhidmatan awam, menubuhkan dana amanah pencen, ganjaran pemberian khas dan menyediakan kuota khas kepada anak-anak Sabah menyertai perkhidmatan awam Persekutuan dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD)

Kelapan: meningkatkan penglibatan dalam industri minyak dan gas – memastikan penglibatan Sabah secara total dan berterusan dalam industri berkenaan, dimana Sabah menjadi rakan kongsi kepada Petronas. Pada masa sama, memastikan perkongsian pintar itu mampu menjana keuntungan.

Kesembilan: memberi keutamaan kepada pelaksanaan prasarana kemudahan asas – dalam aspek naik taraf jalan raya seluruh Sabah, membina dan menaiktaraf loji air, pembinaan Pan Borneo disegerakan

Kesepuluh: menyediakan kemudahan perumahan raktat – mempercepatkan pelaksanaan Program Rumah Mesra SMJ sebanyak 1,500 buah dan meneruskannya, menyediakan lebih banyak perumahan rakyat.

Kesebelas: memperbaiki pengurusan tanah – memastikan pengeluaran geran bagi permohonan tanah rakyat dipercepatkan, menubuhkan Native Land Foundation untuk melindungi Hak Anak Negeri Sabah dan mempercepatkan pengeluaran geran rizab kampung

Keduabelas: kestabilan politik, perpaduan kaum, keadilan dan kesejahteraan rakyat – memperhebatkan usaha memupuk perpaduan antara masyarakat di Sabah merentasi agama, kaum dan budaya, memastikan kekebasan Beragama berasaskan Perlembagaan Persekutuan dipertahankan, menuntut kerajaan Persekutuan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi Wilayah Sabah dengan kuasa-kuasa signifikan dan memastikan peruntukan pembanginan daripada Persekutuian disalurkan terus kepada kerajaan negeri untuk diurustadbir

Ketigabelas: meneruskan usaha menuntut agar kawasan Parlimen di Sabah ditambah – GRS akan menyambung usaha untuk mendapatkan semula penguasaan 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sehingga berjaya.

Hajiji berkata, Manifesto persembahan GRS ini meletakkan kepentingan negeri dan rakyat secara keseluruhannnya.

“Terjemahkan manifesto kita kepada Sabah dengan kesediaan untuk meletakkan kepentingan besar negeri mengatasi kepentingan diri dan kumpulan.

“Sedarlah bahawa kuasa politik itu adalah mandat dan amanah daripada rakyat untuk memperjuangkan nasib mereka dan masa depan negeri tercinta.

“Apa yang ditawarkan dalam Manifesto ini juga adalah kejayaan yang telah kita capai selama dua tahun pemerintahan, dan akan diteruskan demi kepentingan seluruh rakyat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *