BN tetap tawar 3 jawatan TPM walaupun tiada dalam manifesto

Read Time:1 Minute, 51 Second

BERNAMA

BAGAN DATUK: Mewujudkan tiga jawatan timbalan perdana menteri (TPM) akan tetap menjadi tawaran Barisan Nasional (BN) walaupun perkara itu tidak dimasukkan dalam manifesfo parti berkenaan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu akan dilaksanakan sekiranya gabungan terbabit menang dominan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus membentuk kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan baharu BN akan mewujudkan tiga jawatan TPM masing-masing mewakili Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan portfolio kementerian yang akan ditentukan dalam Kabinet kelak.

“Sudah tentu jawatan itu akan memperkuatkan kuasa wakil daripada Sabah dan Sarawak dalam Kabinet kerana bukan hanya kedudukan mereka sebagai TPM, tetapi juga portfolio kementerian yang akan dipegang mereka.

“Mereka yang akan memegang jawatan timbalan perdana menteri ini bukan hanya untuk membantu Perdana Menteri, tetapi untuk membantu wilayah Sabah dan Sarawak yang akan mereka wakili,” katanya selepas mengadakan taklimat dan perbincangan bersama petugas Jalinan Rakyat Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini hari ini.

Pada 23 Oktober lalu, Ahmad Zahid berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya usul berkenaan dimasukkan dalam manifesto BN dan GPS pada PRU15.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Prsiden UMNO meminta semua calon kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mewakili BN menghayati setiap inti pati yang terkandung dalam manifesto yang dilancarkan semalam.

“Ini kerana wakil rakyat BN yang akan melaksanakan dan memantau setiap inti pati manifesto di setiap peringkat DUN atau kawasan Parlimen kerana banyak perubahan baharu BN lakukan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Manifesto menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN (PADU) itu tawaran baharu yang segar daripada BN kepada rakyat Malaysia, mengandungi 99 amal dan usaha BN bagi mengemudi Malaysia ke arah negara maju.

Ditanya mengenai pengeluaran wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tidak dimasukkan dalam tawaran manifesto BN, Ahmad Zahid berkata pengeluaran itu hanya sesuai dilaksanakan pada keadaan ekonomi kritikal seperti semasa pandemik COVID-19.

“Insya Allah kita akan usahakan satu usaha pemulihan ekonomi untuk rakyat kerana yang penting bukan kita memberi ‘ikan’ kepada rakyat, tetapi kita menyediakan ‘pancing’ kepada rakyat.

“Maksudnya kita akan memberikan alternatif kepada rakyat supaya pendapatan mereka dapat dipertingkatkan tanpa perlu melakukan pengeluaran caruman KWSP,” katanya. – BERNAMA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.