HomePolitikPRU15 : Tsai Yiew sambut baik manifesto GRS

PRU15 : Tsai Yiew sambut baik manifesto GRS

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Kota Kinabalu Yee Tsai Yiew menyambut baik manifesto parti gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Manifesto yang diumumkan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor semalam itu digubal bertunjangkan 13 teras yang dilihat mengambil kira pandangan serta sentimen rakyat.

Tsai Yiew berkata, menerusi manifesto itu, terdapat tiga teras yang ingin beliau beri tumpuan antaranya usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri Sabah daripada kerajaan Persekutuan berdasarkan Perlembangaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang harus diteruskan.

“Masih banyak lagi penambahbaikan dalam konteks pembangunan dibawah semangat MA63 dan kita akan terus menuntut hak kita.

“Ini penting kerana Sabah sebagai salah satu rakan kongsi untuk pembentukan Malaysia dan kita akan tetap pertahankan keadilan dalam mendapatkan kemajuan dan pembangunan yang seimbang di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai membuat tinjauan mesra di Tamu Pasar Tani Asia City di sini hari ini.

Pelancaran Manifesto GRS itu telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) semalam.

Tsai Yiew yang juga merupakan ketua informasi Parti Bersatu Sabah (PBS) bahagian Api-Api juga mahu memberi tumpuan kepada aspek pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan menggalakkan penglibatan belia dalam arus pembangunan negara.

“Bagi mengorak langkah untuk merealisasikan Kota Kinabalu Baharu, saya ingin memastikan kaum wanita dan belia mendapat peluang yang sama dalam bidang keusahawanan dan sebagai penggubal dasar.

“Sudah tiba masanya untuk wanita dan belia diberikan tempat yang sepatutnya dalam memberi nilai tambah kepada komuniti dan pembangunan negara,” katanya.

Dari segi penyampaian, Tsai Yiew percaya dengan menggabungkan platform yang sesuai dan pendekatan beramah mesra dengan rakyat mampu memberikan informasi yang jelas dan menyeluruh kepada pengundi di kawasan Parlimen Kota Kinabalu.

“Penyampaian yang baik dan medium yang tepat harus digunakan supaya manifesto GRS dapat difahami oleh semua orang kerana jika rakyat tidak memahami apa yang kita ingin tunaikan, bagaimana mereka hendak memilih calon yang terbaik untuk mewakili mereka nanti.

“Manifesto ini haruslah disampaikan bukan hanya melalui walkabout dan beramah mesra dengan rakyat tapi juga melalui sosial media yang saya rasa merupakan platform terbaik untuk saya mendekati pengundi belia,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pasukan sukarelawan dicadang diwujudkan bantu mangsa banjir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular