KOTA KINABALU : Sabah FC tidak akan mengambil mudah selain mahu kekal fokus untuk berdepan Kuching City FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Likas malam esok.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, beliau yakin pasukan lawan akan bermain dengan corak serangan yang akan memberi tentangan kepada pemain The Rhinos.
“Persiapan pasukan seperti biasa, kita tahu walaupun mempunyai satu gol atau mendahului Kuching City, sudah tentu perlawanan esok bukan satu perkara mudah.
“Kita tahu Kuching City akan datang untuk bermain dengan corak serangan di mana ini pasti akan memberi satu tentangan yang cukup sengit lagi di mana kita tidak boleh mengambil mudah,” katanya.
Kim Swee berkata, para pemain juga tidak boleh hilang momentum selain perlu kekal fokus khususnya dari segi disiplin.
“Disiplin perlu menjadi perkara utama ketika ketika bertahan di mana peluang-peluang yang dicipta oleh pasukan Kuching City di Kuching tempoh hari amat bahaya di mana kita perlu memastikan kita tidak dibolosi, itu yang penting untuk perlawanan malam esok,” katanya.
Mengenai barisan pemain yang diturunkan, Kim Swee berkata perkara itu masih belum ditentukan.
“Kita mempunyai ramai pemain yang masih lagi mengalami kecederaan yang agak lama terutamanya (Jose) Embalo; Jackson (De Sauza); Khairul Fahmi (Che Mat); Gary Steven Robatdan yang terkini Park (Tae Su) termasuk juga Dominic (Tan).
“Jadi kita mempunyai beberapa pemain yang masih lagi belum ditentukan sama ada boleh diturunkan ataupun tidak,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW