PRU15 : Jangan bezakan kaum dalam perjuangan – Khairul Firdaus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh NICK ABDUL RAHMAN

SANDAKAN: Perjuangan untuk membawa suara rakyat negeri ini khususnya di Parlimen Batu Sapi adalah perjuangan bersama dan tidak boleh dibezakan berdasarkan kaum atau bangsa.

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, Kerajaan negeri dibawah pimpinan GRS dan Barisan Nasional (BN) juga tidak pernah melihat perbezaan kaum atau bangsa dalam membawa perubahan Sabah kearah lebih baik.

“Jadi di mana logiknya untuk perjuangan rakyat itu, dibawa oleh seorang pemimpin yang melihat perbezaan bangsa, kaum atau agama.

“Kita semua sama-sama rakyat yang hidup bersama, kita bekerja bersama dan tidak kisah apa bangsa, Melayu, Cina, Bajau, Suluk atau apa bangsa sekalipun, kita adalah rakyat negeri Sabah, kita rakyat Malaysia, tidak boleh lihat perbezaan bangsa dan agama sebagai jurang dalam penyatuan serta perpaduan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir dalam Majlis Ramah Mesra bersama ahli Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini semalam.

Menurut Khairul Firdaus, perjuangan untuk bawa suara serta hasrat rakyat perlu bersifat menyeluruh dan tidak boleh pilih kasih.

“Kita jaga semua, tidak lihat apa bangsa, apa agama atau apa kaum, semua sama kerana kita rakyat yang sama.

“Saya anak kacukan, mama saya berbangsa cina dan saya separuh berdarah cina, nenek saya atuk saya berbangsa cina, semua di sini umpama saudara saya, popo (nenek) saya, atuk saya,” katanya.

Tambah Khairul Firdaus lagi, beliau sangat mengagumi pimpinan senior dari LDP yang banyak membawa suara rakyat dan memperjuangkan masalah rakyat di Sabah dan Batu Sapi.

“Saya tahu dan saya kagum dengan pemimpin-pemimpin senior LDP seperti Datuk VK Liew dan ramai lagi. Saya nampak perjuangan mereka dari zaman saya remaja.

“Kerana itu, saya ingin LDP bersama-sama saya, kita bersama-sama berjuang dan saya yakin, jika saya diberi peluang membawa suara Batu Sapi, pasti LDP akan lebih berpotensi untuk ke depan kerana LDP adalah parti yang senior dalam semua parti bangsa Cina yang lain, sejak 1989 lagi,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Am LDP, Datuk Chin Su Yin berkata LDP mempunyai keyakinan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan GRS.

“Kita yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri kita, dengan GRS dan kerana itu, kita dari LDP beri sokongan kepada calon GRS khasnya di Batu Sapi.

“Kita yakin kerjasama ini akan kukuh dan kepelbagaian budaya kita akan membawa kepada kesan penyatuan yang positif, perpaduan yang akan dicontohi oleh semua pihak, termasuk dari Semenanjung Malaysia.

“Kita tidak mahu Sabah ketinggalan dan kita mahu suara kita didengar, untuk faedah kepada negeri kita sendiri,” ujar beliau.

LDP Sandakan mempunyai lebih 5,000 keahlian, manakala jumlah keseluruhan ahli dalam negeri Sabah adalah lebih 30,000 orang. – SABAH MEDIA/ EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *