HomeUtamaUsahawan wanita perlu rebut peluang, tingkatkan ilmu dalam perniagaan

Usahawan wanita perlu rebut peluang, tingkatkan ilmu dalam perniagaan

Read Time:1 Minute, 58 Second

TUARAN: Usahawan wanita di Sabah perlu merebut peluang yang disediakan kerajaan bagi melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan berkaitan selok-belok dunia perniagaan.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berkata bidang keusahawanan memerlukan komitmen yang tinggi, justeru pengetahuan mengenai pengurusan kewangan, pentadbiran perniagaan dan pemasaran amat penting dalam membantu usahawan menentukan hala tuju perniagaan mereka.

Sehubungan itu, Juliah berkata kerajaan negeri memperuntukkan jumlah yang besar untuk pembangunan wanita di negeri ini, termasuklah dalam bidang keusahawanan, pada tahun ini.

“Dalam Belanjawan Negeri 2022, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM17.61 juta untuk pelaksanaan program pembangunan wanita yang mana Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) telah diperuntukkan sebanyak RM5.8 juta manakala RM11.8 juta peruntukan disalurkan kepada Yayasan Usaha Maju (YUM).

“Usaha yang diambil kerajaan menerusi peruntukan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan wanita khususnya dalam bidang keusahawanan.

Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta bagi meningkatkan kapasiti perniagaan usahawan wanita tahun ini. Antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekunita menerusi Tekun Nasional (TEKUN).

“Sesuai dengan pengisian program pada hari ini di mana semua agensi yang terlibat dalam bidang keusahawanan dibawa untuk menyampaikan perkhidmatan yang disediakan kerajaan dalam pemerkasaan usahawan di negeri Sabah. Justeru, peluang yang disediakan kerajaan ini perlu diambil sepenuhnya oleh usahawan wanita di negeri ini, khususnya Ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutupan Program Keusahawanan JHEWANITA Tahun 2022 di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Tuaran, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Juliah berkata wanita bukan sahaja memainkan peranan utama dalam pembentukan generasi akan datang malah mampu menjadi penyumbang kepada ekonomi keluarga.

“Saya sentiasa menyokong dan menyeru kepada semua wanita agar sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu serta teruskan usaha murni anda untuk membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan seterusnya menjadi usahawan yang berjaya.

“Bidang keusahawanan telah dilihat sebagai bidang yang dapat meningkatkan ekonomi negara, daya saing negara, pendapatan individu, mengatasi masalah kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta meningkatkan kualiti kehidupan.

“Saya mendapati penglibatan golongan wanita semakin aktif dengan pelbagai aktiviti keusahawanan. Ada dalam kalangan mereka yang telah mula berniaga atas inisiatif sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak. Kita amat gembira dengan usaha dan perkembangan positif ini,” katanya sambil menambah adalah menjadi hasrat kerajaan agar lebih ramai menceburi bidang keusahawanan.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya