BELURAN: Dakwaan pihak tertentu yang mendakwa kononnya tiada pembangunan dilaksanakan di daerah ini sepanjang tempoh perkhidmatan penyandang Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai wakil rakyat sejak 22 tahun yang lalu adalah tidak benar.
Ini kerana penduduk di kawasan parlimen itu melihat sendiri fasa pembangunan prasarana yang diusahakan Ronald untuk kesejahteraan rakyat dan kegiatan ekonomi.

Dari segi kemudahan, sudah ada beberapa kemudahan disediakan di Parlimen Beluran antaranya sebuah Balai Bomba dan Penyelamat, Kompleks Sukan, Pasar Tamu Beluran dan perbankan menerusi pembukaan dua cawangan Agrobank di Pekan Beluran dan Telupid.
Manakala di kawasan kampung yang terletak di luar bandar pula, kemudahan elektrik, bekalan air dan jalan raya, sudah ada menerima kemudahan itu di mana usaha ini masih diteruskan berikutan masih ada kampung-kampung yang belum menerima kemudahan tersebut.

Bagi penduduk di Kampung Melapi Telupid, Noraziah Lajis,45, beliau sangat menghargai sumbangan Ronald dalam melaksanakan pembangunan di kampung itu antaranya pembinaan sebuah dewan, gelanggang sepak takraw dan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Dakwaan mereka bahawa tiada apa-apa pembangunan di sini (Beluran), mereka cakap bohong lah, inikan semata-mata untuk politik, jadi mereka bertujuan memburukkan Datuk Ronald. Kita semua, pengundi tahu, siapa yang betul, mana yang tidak betul dan mana yang tipu,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Fexsus Rimin, 42, yang menafikan dakwaan pihak tertentu mengenai pembangunan yang kurang dibawa ke Beluran ketika Ronald menjadi wakil rakyat selama ini.
“Di kampung Melapi ini sudah ada pembangunan dilaksanakan oleh Ronald. Jadi kalau bilang tiada di sini pembangunan, di Kampung Melapi pun sudah beberapa pembangunan yang dia (Ronald) bawa, belum lagi dikira di tempat lain.

“Contohnya macam di Beluran, di Pekan, kita tengok itu pembangunan macam Balai Bomba dan Penyelamat, Kompleks Sukan dan Agrobank yang orang Beluran banggakan,” katanya.
Bagi Abius Kondorid, 51, di Kampung Baba Telupid, sumbangan Ronald dalam menyediakan kemudahan untuk kegunaan penduduk di kampung itu tidak perlu dipersoalkan sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Beluran ini.

Katanya antara pembangunan yang sudah dilakukan oleh Datuk Ronald ialah telah memberikan kemudahan seperti lampu (bekalan elektrik), bekalan air dan juga dewan.
“Demikian juga untuk gereja, memang Datuk (Ronald) tidak lupakan kami.Dia sentiasa dekat dengan kami untuk membantu keperluan gereja di kampung baba, demikian juga untuk E-Desa disediakan untuk keperluan penduduk kampung.

“Kami sangat mengharapkan Datuk (Ronald) yang ada rekod baik melaksanakan pembangunan di kawasan Parlimen Beluran kekal menjadi wakil rakyat di Parlimen Beluran bagi meneruskan pembangunan seterusnya yang diperlukan untuk kawasan parlimen ini,” katanya. – SABAH MEDIA