KOTA KINABALU: Pengguna dan orang awam dinasihati untuk menghubungi Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi memperbaiki pepasangan sekiranya ada kejanggalan kepada pepasangan itu.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir Idris Mohd Noor berkata, ia termasuklah talian perkhidmatan dan tiang elektrik yang berada di luar premis pengguna.
Katanya, orang awam tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja senggaraan tanpa kebenaran daripada SESB kerana ia menjadi tanggungjawab pihak SESB untuk menyelenggara pepasangan ini.
Menurunya, perkara itu hanya boleh dilaksanakan oleh kontraktor yang berkelayakan yang dibenarkan membuat kerja-kerja penyelenggaraan selaras dengan sub peraturan 110(1) dan 110 (2) , Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 1994.
“Selain itu, SESB juga menasihatkan orang awam untuk sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh membahayakan diri serta menyebabkan renjatan elektrik. Apa-apa aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan dengan tiang dan talian penghantaran elektrik yang bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.
“Antara aktiviti berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian, bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik dan kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram.
“Selain itu, menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam turut mengundang risiko,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Idris berkata, SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat.
Katanya, SESB memohon jasa baik semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti yang ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB.
“Orang ramai boleh menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti membahayakan berdekatan dengan pepasangan SESB,” katanya. – SABAH MEDIA