PRU15: Undi calon BN, anak jati Sepanggar – Hajiji

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh NORMIMIE DIUN / Video YUSOF MOHAMAD

SEPANGGAR: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyeru kepada seluruh rakyat di Parlimen Sepanggar supaya mengundi Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yakub Khan sebagai ahli parlimen di kawasan itu.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, antara kelebihan lain Yakub selain Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, beliau juga seorang anak jati di Sepanggar.

“Datuk Yakub adalah anak jati yang lahir di Sepanggar ini, di sini ada lima calon tetapi beliau (Yakub) sahaja yang lahir di sini dan duduk di sini manakala yang lain itu adalah dari kawasan lain.

“Ini juga menjadi satu kelebihan kepada Datuk Yakub, saya yakin kalau rakyat kita bijak memilih, saya yakin beliau (Yakub) akan menang dalam pilihan raya kali ini,” kata Hajiji ketika ditemui pemberita pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Kg Darau, Manggatal pada Sabtu.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan kepada rakyat kesinambungan usaha kerajaan GRS-BN dalam memajukan Negeri Sabah semasa mengadakan ceramah-ceramah sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Dalam siri kempen kita ini, kita mahu menjelaskan kepada rakyat apa yang baik atau apa yang kita mahu lakukan kepada mereka (pengundi).

“Kita tawarkan satu pembangunan dan kemajuan bagi masa depan, ini yang perlu kita jelaskan kepada mereka daripada mendengar cerita-cerita retorik daripada calon-calon atau pemimpin-pemimpin yang lain.

“Kita ada tanggungjawab besar sebagai Kerajaan Negeri dan kesinambungan itu kita bawa untuk membentuk Kerajaan Persekutuan supaya kita boleh maju ke hadapan, yang penting kita bersatu hati.

“Manakala keselesaan dan kesejahteraan rakyat itu perlu diutamakan termasuklah aspek keselamatan dan sebagainya. Ini penting kita tawarkan kepada rakyat supaya mereka memilih calon kerajaan,” katanya.

Parlimen Sepanggar menyaksikan persaingan lima penjuru iaitu Calon BN Yakub Khan menentang penyandang kerusi Parlimen Sepanggar Datuk Mohd. Azis Jamman (Warisan), Jumardie Lukman (KDM), Mustapha Sakmud (PKR) dan Yusof Kunchang (Pejuang).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *