SEMPORNA: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Barisan Nasional (BN) akan menunaikan permintaan penduduk Semporna jika kedua-dua calon yang bertanding mewakili blok itu menang di DUN Bugaya dan Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, antara permintaan yang disuarakan adalah menyelesaikan isu perumahan penduduk Kg. Simunul, mengusulkan cadangan pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum dan menyelesai isu prasarana asas serta kediaman mangsa kebakaran.
Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah, Semporna perlu disempurnakan melalui kemenangan calon dari blok kerajaan untuk membawa kemajuan masa hadapan di daerah ini yang terkenal dengan kawasan pelancongan bertaraf dunia.
“Kita ‘reset’ Semporna saya pinjam sedikit cogan kata saudara saya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, saya mahu ‘reset’ Semporna, Semporna perlu disempurnakan dan kita tidak ada pilihan, kalau mahu ‘reset’ Semporna kita mesti pilih calon kerajaan, mesti pilih calon yang boleh bawa kemajuan.
“Saya beri jaminan kalau dua-dua ‘kuda’ ini menang kita akan tunaikan permintaan untuk mengatasi masalah penempatan di Kg. Simunul dan Kg Bangau-Bangau yang sudah lama dari tahun 2015, walau terdapat pemimpin di Semporna ini sehingga pernah jadi Ketua Menteri tapi isu ini tidak boleh diselesaikan,” katanya ketika Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Semporna.
Mengenai pembinaan jambatan Pulau Bum-Bum, Pengerusi GRS itu berkata isu berkenaan akan dibawa kepada Kerajaan Persekutuan untuk perbincangan bagi membolehkan pembinaan jambatan itu dapat direalisasikan.
Dalam masa sama beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan untuk mewujudkan keperluan perkhidmatan feri dari tanah besar ke Pulau Bum-Bum sebelum terbinanya jambatan.
“Saya akan pastikan ianya berlaku, saya akan minta Jabatan Kerja Raya dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Ketua Menteri untuk meneliti keperluan perkhidmatan feri ini selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya untuk membantu rakyat kita yang hidup susah perlu pembelaan,” katanya lagi.
Sehubungan itu beliau merayu agar pengundi di Semporna dan DUN Bugaya membantu memberi kemenangan kepasa kedua-dua calon untuk merealisasikan perancangan yang akan dilaksanakan apda masa hadapan.
“Walau calon kita ini dilabel ‘underdog’ dan saingan bukan calang-calang tidak ada yang mustahil di dalam dunia politik kalau kita terus bekerjasama,kita akan cipta sejarah kerana kita ada agenda yang besar untuk Semporna,”katanya.