KOTA MARUDU: Kemesraan jelas tergambar di wajah penduduk kampung apabila calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili turut menarikan tarian tradisi Mongigol di Kampung Noloton, di sini hari ini.
Maximus secara spontan menari mengikut paluan gong yang dibunyikan bertujuan untuk mengiringi beliau sebelum meninggalkan majlis, dan diikuti penduduk kampung yang tampil ke depan untuk mendekati beliau.
Terdahulu, beliau menyatakan rasa terharu melihat kehadiran ramai penyokong ke perjumpaan tersebut, yang membuktikan sokongan mereka terhadap beliau.
Di sesi perjumpaan, beliau juga kelihatan mengambil nota ketika mendengar luahan dari penduduk di kawasan tersebut.
Maximus, yang berdepan dengan lima pencabar lain bagi merebut kerusi parlimen Kota Marudu, turut mengingatkan para pengundi untuk tidak terpengaruh dengan janji manis yang dibuat pihak pembangkang.
“Parti pembangkang hanya tahu berbuat janji, tapi tidak mengotakan kata-kata mereka. Mereka sengaja mengelirukan pengundi di sini dengan mengatakan tidak ada pembangunan di Kota Marudu, tapi saya percaya masyarakat di sini tidak mudah tertipu kerana kita semua melihat kemajuan di daerah ini berbanding dahulu.
“Parti Warisan memerintah selama dua tahun tidak ada pembangunan yang mereka bawa untuk Kota Marudu. Oleh itu, jangan beri mereka peluang untuk merugikan kita lagi, buatlah pilihan terbaik. Hanya Kerajaan GRS yang mampu membawa perubahan,” ujar beliau.