PRU15 : BN-GRS sasar menang 15 kerusi di Sabah

Read Time:56 Second

Oleh NICK ABDUL RAHMAN

SANDAKAN : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya mendapatkan lebih 15 kerusi di beberapa kawasan Parlimen di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, sebagai calon Perdana Menteri ke-10, beliau berharap sumbangan calon BN-GRS di negeri ini termasuk kerusi Parlimen Libaran akan dapat membantu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan.

“Sebagai calon Perdana Menteri kesepuluh, saya harapkan sumbangan Sabah terutama zon lima, saya percaya zon lima boleh sumbang tiga hingga empat kerusi, Sabah sumbang 15 kerusi termasuk Libaran.

“Pembentukan Kerajaan bergantung kepada kerusi Sabah, jika Sabah gagal sumbang bermakna kita tidak mampu tubuh Kerajaan dan akhirnya sekali lagi kita diperintah Kerajaan Pakatan Harapan yang tidak tunaikan janji, 22 bulan kita hidup dalam sengsara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program pemimpin bersama rakyat di Parlimen Libaran di sini hari ini.

BN dan GRS di Sabah meletakkan 25 calon di negeri ini melibatkan 12 bagi kerusi BN dan 13 lagi bagi kerusi GRS.

Ismail Sabri tiba di sini petang tadi dalam rangka program kempen PRU15 di Parlimen Libaran – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.