KOTA KINABALU: Mahasiswa Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program jangkauan luar (Outreach) dan khidmat masyarakat (CSR) di Pulau Sepanggar, di sini, semalam.
Program tersebut disertai 122 pelajar daripada Persatuan Pelajar Psikologi dan Pendidikan (PERMEPS) dan gabungan semua persatuan dan kelab di FPP.
Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Raman Noordin dan Dekan FPP, Prof. Dr Murnizam Halik.
Majlis perasmiannya disempurnakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.16 Karambunai, Datuk Yakub Khan.
Berucap pada majlis itu, Yakub mengalu-alukan kehadiran UMS dan menyifatkan program CSR tersebut sebagai satu usaha yang boleh mengubah keadaan hidup masyarakat di pulau berkenaan.
“Pada masa yang sama, ia sekali gus mengubah persepsi salah mengenai penduduk yang tinggal di pulau ini yang sering dikaitkan dengan warna kulit, bahasa dan keturunan sebagai kumpulan pendatang.
“Penduduk di Pulau Sepanggar adalah orang asal yang telah mendiami pulau tersebut sejak zaman British lagi, yakni sebelum pembentukan Malaysia,” jelasnya.
Ujar Yakub, Sabah sememangnya terkenal dengan kepelbagaian etnik dan kaum namun sentiasa hidup dalam keadaan yang harmoni.
“Sehubungan itu, peranan Universiti mendekati komuniti ini adalah usaha terpuji sesuai dengan institusi Universiti yang disegani dan dihormati,” katanya.
Terdahulu Kasim dalam ucapan alu-aluannya berkata, UMS akan terus komited dalam memastikan komuniti sekitar universiti akan terus mendapat sentuhan ilmu dari UMS.
“Lebih banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan akan dipergiatkan oleh UMS dalam masa-masa yang mendatang.
“Ini mengambil kira bahawa masih banyak kawasan di Sabah yang belum menikmati kemajuan sepenuhnya bertitik-tolak dari sentuhan ilmu yang membuka minda dan mendukung inovasi,” katanya.
Ujar beliau, UMS bertekad menjadi peneraju komuniti berinovasi.
“Hal ini dapat dilakukan dengan perkongsian dan pemindahan ilmu dari kalangan pensyarah UMS yang mempunyai pelbagai kepakaran yang relevan dalam membangun komuniti,” tambahnya lagi.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program tersebut termasuklah program Bahasa Inggeris, ceramah motivasi dan kepimpinan, serta acara sukan dan permainan di Sekolah Kebangsaan Pulau Sepanggar.
Turut diadakan aktiviti gotong-royong di Surau dan sekitar Kampung Pulau Sepanggar. – SABAH MEDIA