SANDAKAN : Seramai 80 ahli cawangan Warisan Taman Rimba mengisytiharkan keluar dari parti tersebut dan menyertai Umno.
Borang keahlian diserahkan oleh wakil, Hapsah Ramlan semasa Majlis Santai Bersama Belia PDM Taman Fajar di sebuah hotel di Batu 7, pagi tadi.
Ketika ditemui, Hapsah berkata mereka menyertai Umno dan Barisan Nasional (BN) secara sukarela tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.
Katanya, mereka sepakat keluar dari Warisan ekoran tiada sebarang perubahan yang dibawa oleh parti itu selama memerintah Sabah.
“Tiada apa yang mereka (Warisan) bawa untuk rakyat di kawasan ini. Rakyat tidak nampak sebarang perubahan,” katanya.
Dalam pada itu, calon BN Libaran, Datuk Suhaimi Nasir meminta pengundi agar membuat penilaian yang baik sebelum memangkah undi pada 19 November ini.
Katanya, pilihan rakyat yang akan menentukan masa depan anak cucu serta kesinambungan pembangunan yang berterusan.
“Saya tahu rakyat Libaran inginkan perubahan dari segi pembangunan, pendidikan, kebajikan, ekonomi dan pembangunan modal insan termasuk golongan muda.
“Ini akan menjadi salah satu keutamaan sekiranya saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Libaran dan BN membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.
Suhaimi berkata banyak lagi perancangan yang dikehendaki rakyat akan dimajukan kepada kerajaan persekutuan untuk memastikan Libaran menerima limpahan pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya dengan rendah diri merayu agar pengundi Libaran turun mengundi dan memberi peluang kepada BN demi generasi masa depan,” jelasnya.