Jeffrey tekad perjuang hak rakyat dan Negeri Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan mahukan sokongan rakyat supaya beliau dapat meneruskan tuntutan ke atas hak Negeri Sabah daripada Kerajaan Persekutuan.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, mahu mempertahankan kerusi Parlimen Keningau dan berharap sokongan dan undi rakyat kepada beliau pada Sabtu ini berpihak kepadanya.

Menurut Jeffrey, sekiranya calon-calon bertanding menang beliau mahu mereka terus memperjuangkan hak-hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang dipungut oleh Kerajaan Pusat.

“Saya diberitahu bahawa RM125.6 juta itu adalah bayaran interim sehingga kita mendapat bayaran 40 peratus itu tetapi apabila keluar perwartaan dari Kerajaan Pusat, mereka kata ini sebagai ganti tuntutan 40 peratus itu.

“Kerajaan Pusat menganggap perkara itu sudah selesai selepas membayar geran khas RM125.6 juta kepada kerajaan Sabah pada awal tahun ini.

“Dalam mesyuarat ada senarai perkara yang sudah selesai dan belum selesai. Saya lihat perkara mengenai 40 peratus itu sudah dimasukkan dalam senarai perkara yang sudah selesai. Jadi, saya tuntut agar dimasukkan balik dalam senarai perkara yang belum selesai walaupun mereka sudah membayar kepada Sabah RM125.6 juta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, selaku timbalan ketua menteri dan menteri yang mempengerusikan jawatankuasa mengenai Perjanjian Malaysia (MA63) di peringkat negeri, beliau juga antara yang terlibat dalam Majlis Khas MA63 (MKMA63) Kerajaan Pusat.

“Walaupun Kerajaan Persekutuan sudah mengembalikan beberapa kuasa kepada Sabah, usaha masih diteruskan untuk mendapatkan hak yang lebih besar iaitu hak kewangan,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *