KOTA BELUD: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) akan terus bekerjasama dengan Kerajaan agar usaha menjaga kepentingan agama Islam akan sentiasa diberikan keutamaan.
Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia juga selaras dengan visi dan misi pertubuhan itu yang sentiasa berpegang kepada matlamat penubuhannya, iaitu menyebarluaskan dakwah di negeri Sabah.
Katanya, sebagai badan bukan kerajaan yang berlandaskan Islam, USIA berpegang teguh kepada pendekatan amar ma’ruf nahi munkar.
“USIA bebas memberikan pandangan kepada setiap pemimpin supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam. Bagaimanapun, pandangan yang diberikan akan dilakukan dengan penuh hikmah,” katanya.
Sapawi berkata demikian ketika merasmikan program Wacana Pemikir Islam dan Taklimat Pelan Strategik Pembugaran USIA, untuk pemimpin dan wakil USIA Bahagian Kota Belud, Ranau, Pitas, Kudat dan Kota Marudu, di sini semalam.
Hadir sama Setiausaha Agung USIA, Iman Ali, Ketua Penerangan USIA Datuk Abdullah Hussin, Ahli Majlis Tertinggi USIA Datuk Dr Minggu Jumaan, Penolong Setiausaha Agung USIA, Zulhelmi Asbi dan bekas Naib Yang Dipertua USIA, Lamsil Hamidsor.
Sapawi juga memaklumkan bahawa usaha sedang dilaksanakan untuk membaik pulih bangunan lama USIA di Sembulan.
Katanya, bangunan yang terletak di lokasi strategik itu akan dijadikan pejabat pentadbiran di samping menyediakan ruang untuk menjana pendapatan USIA.
“Usaha lain yang sedang dilaksanakan termasuk penggunaan secara optima aset-aset USIA yang sedia ada,” katanya.
Beliau menasihatkan pemimpin dan ahli USIA untuk berkerjasama dengan pucuk pemimpin USIA demi mengembalikan era kegemilangan pertubuhan itu. – SABAH MEDIA