Kerajaan sentiasa beri sokongan kepada sekolah laksana program peningkatan akademik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan sentiasa menyokong dan memberi perhatian kepada sekolah-sekolah yang sentiasa merancang dan melaksana program-program peningkatan akademik dan kokurikulum.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan berkata, sebarang bantuan akan disalurkan oleh pihak kerajaan agar pihak sekolah dapat merancang dan melaksana pelbagai program.

Katanya, ianya adalah untuk peningkatan ilmu para guru dan pelajar, bagi mempelbagaikan sistem pembelajaran yang menarik dan  lebih berinformatif. 

“Pelbagai anugerah juga diwujudkan untuk merangsang para guru-guru untuk lebih berinovasi dan kreatif. Kerajaan percaya guru-guru merupakan insan yang terpilih untuk memberi impak kepada pencapaian cemerlang pelajar dan juga sekolah.

“Sebagai pemimpin masyarakat di kawasan ini, saya berharap agar keputusan peperiksaan di sekolah ini akan lebih cemerlang dari masa ke semasa.

“Harapan saya kepada ibu bapa dan anak-anak pelajar, rebutlah peluang ini untuk menunjukkan potensi anda, kerana di hadapan anak-anak semua terlalu banyak peluang yang sedang menanti anda, terutamanya bagi yang tidak pernah jenuh untuk berusaha bagi mengejar kejayaan demi masa depan negara yang tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kualiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon 2021 di sini semalam.

Yakub berkata, pihaknya yakin para pelajar akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan sejajar dengan matlamat sekolah dan aspirasi kerajaan bagi melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama demik kesejahteraan negara.

“Penganjuran majlis seperti ini dan majlis-majlis yang seumpamanya oleh pihak pengurusan sekolah ini, pastinya akan memberi impak positif kepada semua pelajar.

“Sesungguhnya penganjuran program ini merupakan suatu inisiatif yang baik untuk memotivasikan para pelajar di sekolah ini,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *