PRU15: Sabah, Sarawak sepakat bentuk Blok Borneo 

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah dan Sarawak sepakat untuk membentuk Blok Borneo dan menyokong kerajaan baharu persekutuan yang akan dibentuk berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata keputusan itu dicapai menerusi perbincangannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, melalui panggilan telefon, malam tadi.

Katanya, kerajaan yang akan disokong kedua-dua negeri itu bagaimanapun mesti mampu memberi kestabilan politik kepada seluruh negara.

Kitapun sudah mengetahui mengenai keputusan PRU15 dan saya telah bincang dengan Premier Sarawak, Abang Jo bahawa kita sepakat untuk menyokong kerajaan yang akan dibentuk di persekutuan yang boleh bawa kestabilan politik bukan saja di negara kita tapi di Sabah dan Sarawak.

“Sebagai mana kita maklum, Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) mendapat 13 daripada 25 kerusi dan satu Perikatan Nasional (PN), jadi 14 kerusi semuanya.

“Kerusi ini akan kita bawa untuk beri sokongan kepada kerajaan yang boleh membawa kestabilan kepada kita,” katanya pada sidang media mengenai hala tuju GRS-BN selepas PRU15 di kediaman rasminya, Sri Gaya, di sini, pagi ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS, berkata beliau menerima panggilan daripada Abang Jo malam tadi mengenai kerjasama kedua-dua kerajaan negeri dalam membentuk Blok Borneo.

“Kami bincang mahu kerja bersama membentuk ‘Borneo Block’ untuk memastikan sokongan kepada kerajaan persekutuan yang dapat memberi kestabilan dan manfaat kepada Sabah Sarawak,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan mengenai gabungan parti mana yang akan disokong GRS-BN untuk membentuk kerajaan persekutuan.

“Gabungan mana itu kita akan bincangkan kemudian tetapi kita lebih kepada sebuah kerajaan yang beri kestabilan kepada Sabah.

“Bagaimanapun, setakat ini saya tidak dapat cakap (gabungan mana) kerana belum ada keputusan rasmi, nanti kita akan buat satu kenyataan lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, GRS-BN perlu melihat parti yang boleh memberi kebaikan kepada Sabah dan Sarawak sebelum membuat keputusan gabungan mana yang akan disertai nanti.

Keputusan tidak rasmi PRU15 di Sabah setakat jam 1 pagi tadi menyaksikan GRS-BN memenangi 13 kerusi daripada 25 kerusi Parlimen di negeri ini dengan masing-masing memenangi tujuh dan enam kerusi.

BN memenangi kerusi Parlimen Kimanis, Kalabakan, Libaran, Beaufort, Putatan, Kinabatangan dan Pensiangan, manakala GRS di Parlimen Papar, Sipitang, Ranau, Tawau, Keningau dan Batu Sapi.

Selebihnya dimenangi parti lawan dan Bebas dengan Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi iaitu di Parlimen Sandakan, Sepanggar, Tuaran, Penampang dan Kota Kinabalu.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *