Bantuan khas kewangan setengah bulan gaji buat penjawat awam negeri Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Bantuan Khas Kewangan itu akan melibatkan seramai 20,271 orang penjawat awam negeri dan akan dibayar pada bulan Januari 2023.

“Bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

“Selain daripada itu, Bantuan Khas sebanyak RM500 untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan juga akan diberikan dan dibayar pada bulan April 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2023 Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, dengan pemberian insentif ini diharap penjawat awam dapat berusaha dengan cekap dan lebih gigih lagi bagi memastikan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, bagi memantapkan perkhidmatan awam, agensi-agensi Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan menerusi pendigitalan bagi mengurangkan proses birokrasi dan meningkatkan keupayaan institusi sektor awam.

Katanya, usaha pembangunan kapasiti perlu terus dipertingkatkan untuk memastikan penjawat awam mampu menggerak dan memacu agenda pembangunan negeri.

“Bagi tujuan ini, sejumlah RM12.83 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan kepada semua Kementerian dan Jabatan untuk Program Pembangunan Sumber Manusia.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri jugamenyediakan peruntukan sebanyak RM7.5 juta bagi pembiayaan biasiswa dan kos latihan pegawai-pegawai Kerajaan di dalam dan di luar negeri,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *