HomeUtamaSabah bentang Belanjawan terbesar RM5.138 bilion tahun depan

Sabah bentang Belanjawan terbesar RM5.138 bilion tahun depan

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan sebanyak RM5.138 bilion bagi Belanjawan Negeri Sabah 2023 dengan catatan lebihan sejumlah RM130.47 juta.

Bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’, bajet lebihan itu merupakan Belanjawan tertinggi dalam sejarah Belanjawan Negeri Sabah sejak merdeka.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Belanjawan yang dirangka itu selaras dengan pertumbuhan ekonomi negeri berpandukan kepada Pelan Pembangunan Negeri Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, tumpuan utama dalam Belanjawan 2023 adalah untuk memacu dan memperkasa ekonomi negeri demi memastikan pembangunan Sabah dan kesejahteraan rakyat secara inklusif dan berterusan.

“Sabah kini berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan ekonomidengan merekodkan pertumbuhan positif pada kadar 1.1 peratus pada tahun 2021 berbanding penguncupan 9.2 peratus pada tahun 2020.

“Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) Negeri Sabah telah meningkat kepada RM78.7 bilion pada tahun 2021 daripada RM77.8 bilion pada tahun 2020. KDNK per kapita Sabah juga telah meningkat kepada RM29,960 pada tahun 2021 berbanding RM24,652 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, pada tahun ini Sabah dijangka akan meneruskan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang positif.

Katanya, dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022, Sabah telah mencatatkan imbangan perdagangan positif sebanyak RM23.5 bilion berbanding RM13.3 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 iaitu dengan peningkatan sebanyak 77 peratus.

“Pencapaian ini terutamanya disokongoleh peningkatan jumlah keseluruhan eksport negeri dalam tempoh Januari hingga Ogos 2022 sebanyak 54 peratus dan mencecah RM50.4 bilion berbanding RM32.8 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 yang disumbangkan oleh eksport komoditi utama negeri khususnya petroleum dan minyak sawit mentah.

“Manakala jumlah import direkodkan meningkat sebanyak 35 peratus kepada RM26.5 bilion daripada RM19.5 bilion pada tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, strategi pemulihan ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan dengan meningkatkan perbelanjaan pembangunan melalui Belanjawan Negara Tahun 2022 sebanyak RM5.2 bilion dan Belanjawan Negeri Tahun 2022 sebanyak RM879.28 juta membolehkan Sabah melaksanakan lebih banyak inisiatif dan program pembangunan khususnya projek berimpak tinggi.

Katanya, penggunaan domestik dan swasta diunjurkan terus berkembang dan disokong oleh pendapatan boleh guna isi rumah yang meningkat serta pemulihan pasaran buruh.

“Momentum pemulihan ekonomi pada tahun hadapan dijangka akan terus didorong oleh pemulihan dan kerancakkan semula aktiviti ekonomi terutamanya industri pelancongan;kestabilan eksport; peningkatan penggunaan domestik; perbelanjaan modal sektor awam dan swasta; serta pelaksanaan lebih banyak projek pelaburan berimpak tinggi.

“Oleh itu, selari dengan perkembangan semasa di peringkat ekonomi global dan nasional, Sabah dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi secara positif pada tahun 2022 dan 2023 iaitu masing-masing pada kadar empat hingga lima peratus,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan tahap waspada di Sabah, Labuan hari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular