HomeUtamaSabah terus pergiat, pelbagaikan usaha jana sumber hasil yang lebih mampan

Sabah terus pergiat, pelbagaikan usaha jana sumber hasil yang lebih mampan

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU : Sabah terus mempergiat dan mempelbagaikan usaha bagi meningkat dan menjana sumber hasil yang lebih mampan meskipun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi selain mengharungi pelbagai cabaran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Sabah telah melaksanakan empat usaha bagi memastikan sumber hasil negeri terus bertambah.

“Antaranya ialah menambahbaik pengurusan hasil secara komprehensif dengan memperkasa setiap aspek penguatkuasaan bagi mendapatkan semula tunggakan hasil dan menangani ketirisan hasil.

“Sebagai contoh, melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum dengan kerjasama anggota pasukan daripada Kementerian Kewangan, Jabatan Ketua Menteri dan Jabatan Peguam Besar Negeri serta SMJ Sdn. Bhd. selaku penasihat, berkat usaha tersebut cukai yang tertunggak berjumlah RM132 juta telah berjaya dikutip semula.

“Dengan ini, kesemua 15 syarikat minyak dan gas di Sabah telah membuat bayaran cukai ke atas produk petroleum. Di sini, ingin saya mengingatkan semua pembayar cukai jualan negeri bagi semua barangan agar bersikap jujur, responsif dan memastikan pengisytiharan cukai dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, tepat dan teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang bagi mereka yang gagal berbuat demikian.

Katanya, Kerajaan turut  memperluas sumber hasil negeri melalui pelaksanaan Cukai Jualan Negeri baharu ke atas besi buruk buangan yang bermula pada Februari lalu dengan anggaran sebanyak RM18 juta setahun dan peluasan skop ke atas Cukai Jualan Negeri Petroleum meliputi produk Ammonia dan Urea yang bermula pada bulan Ogos juga dijangka akan menyumbang hasil negeri sebanyak RM110 juta setahun.

“Kerajaan turut mempertahan dan memperjuangkan hak Negeri Sabah. Walaupun bayaran interim Pemberian Khas oleh Kerajaan Persekutuan dinaikkan kepada RM129.7 juta pada tahun 2023, Kerajaan Negeri akan terus berunding bersama Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kajian semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, Kerajaan terus mempergiatkan lagi penguatkuasaan kutipan dividen Syarikat Milik Kerajaan dan Badan-badan Berkanun melalui pemantauan pengurusan dan kedudukan kewangan serta strategi pelaburan dan perniagaan baharu agar agensi-agensi Kerajaan sentiasa berada pada kedudukan kewangan yang positif,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, hasil adalah nadi kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Justeru, saya menyeru kepada semua pihak agar kita bersama-sama meneruskan perjuangan menggalas tanggungjawab dan mengembeleng tenaga untuk memacu hasil negeri ke arah kutipan hasil yang lebih mampan dan kukuh yang boleh menjamin kestabilan ekonomi serta pembangunan negeri dan mensejahterakan kehidupan rakyat secara berterusan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular