RM120 juta diperuntuk bina 1,500 rumah SMJ tahun hadapan

Read Time:52 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah memperuntukkan sejumlah RM120 juta bagi pembinaan sebanyak 1,500 buah Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di seluruh negeri khas untuk golongan miskin dan miskin tegar.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan sentiasa peka terhadap keluhan golongan sasar yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM212.63 juta kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Pejabat-Pejabat Daerah dan Pejabat-Pejabat Daerah Kecil.

“Ini adalah untuk memberi tumpuan kepada program pembasmian kemiskinan sebagai usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, KPLB juga akan meneruskan usaha bagi memperbaiki jalan penghubung antara kampung dan pekan supaya penduduk luar bandar dapat menggunakan kemudahan asas yang disediakan.

Katanya, ia termasuklah seperti jalan kampung, balai raya, jambatan serta rumah ibadah.

“Program Bekalan Elektik Luar Bandar Alternatif dan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif  juga akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.