Maritim Malaysia tahan bot nelayan lakukan aktiviti perikanan tanpa permit sah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 2 Second

LABUAN:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti perikanan tanpa permit yang sah di perairan Labuan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, ketika rondaan pihaknya telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan sedang melakukan aktiviti perikanan di kedudukan 31.2 batu nautika dari Pulau Labuan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap gamat menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

“Bot yang berpangkalan di negeri Sarawak itu dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama lima orang kru warganegara Vietnam dan seorang kru warganegara Indonesia berumur lingkungan 20 tahun hingga 44 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot, nakhoda kapal bersama kesemua kru ditahan. Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Nudin berkata, penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan itu mampu menyebabkan kerosakan pada ekosistem serta pembiakan hidupan laut.

Katanya, komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah termaktub bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.

“Komuniti maritim turut dinasihatkan untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087- 427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *