HomeUtamaTingkat pengeluaran, lonjakkan sektor pertanian dan perikanan

Tingkat pengeluaran, lonjakkan sektor pertanian dan perikanan

Read Time:2 Minute, 49 Second

MENUMBOK :  Kumpulan sasar digesa untuk terus meningkatkan pengeluaran dengan inovasi dan teknologi moden untuk  melonjakkan sektor pertanian dan industri makanan. 

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ianya adalah selaras dengan Hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi fokus kepada memajukan ekonomi rakyat.

Katanya ia termasuklah semua agensi kerajaan serta masyarakat dapat terlibat sama dalam mendukung dan menjayakan agenda pembangunan negeri khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan komoditi getah.

“Kerajaan berharap kumpulan sasar dapat mempertingkatkan hasil pengeluaran dengan menggunakan inovasi dan teknologi moden serta modal insan yang berpaksikan produktiviti. 

“Dengan itu, hasil pengeluaran pasti akan mencapai sasaran masing-masing seterusnya melonjakkan pembangunan negeri dalam sektor pertanian serta industri makanan.

“Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama dan program yang telah diatur oleh agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Perikanan Sabah, Ko Nelayan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pertanian Sabah dan disokong selain yang terlibat, kita mampu mencapai matlamat yang kita idamkan.

“Kita berharap pada sambutan pesta nelayan akan datang, kita sudah dapat melihat produk perikanan yang dihasilkan oleh penduduk di kawasan ini bukan sahaja dipasarkan untuk keperluan tempatan malah berjaya menembusi pasaran di luar daerah,” katanya dalam Majlis Perasmian Pesta Nelayan menumbok Kali Ke-20 di Dataran Mempakul.

Dalam teks ucapan yang disampaikan Menteri Tugas-tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Hajiji turut menyeru masyarakat nelayan agar giat berusaha serta melengkapkan diri dengan pengetahuan bagi menghadapi persaingan di pasaran terbuka, sekaligus meningkatkan tahap kehidupan.

Tambah beliau, kerajaan negeri amat prihatin dan sentiasa berusaha melakukan sesuatu yang terbaik dalam membela nasib masyarakat nelayan.

“Matlamat kerajaan ialah mahu para pengusaha perikanan menikmati taraf hidup yang lebih baik sejajar dengan tahap kemajuan negara setanding dengan golongan lain.

“Pelbagai bantuan telah disediakan oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf sosio-ekonomi golongan nelayan antaranya, elaun sara hidup nelayan yang telah, sedang dan terus diberikan oleh kerajaan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh nelayan dalam mendepani kos sara hidup masa kini.

“Namun, pada masa yang sama, masyarakat nelayan juga harus berusaha meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai segi umpamanya pengurusan perniagaan di samping mampu mencipta produk-produk baharu menerusi program, latihan yang disediakan oleh kerajaan agar tidak ketinggalan dalam persaingan terbuka sekali gus memastikan tahap kehidupan masyarakat nelayan dapat kita tingkatkan,” jelasnya.

Pada majlis tersebut, Arifin yang diiringi ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury menyerahkan Skim Bantuan Nelayan (Enjin Sangkut) kepada 11 penerima, manakala empat peserta lagi menerima replika cek Industri Kecil Perikanan daripada Ko Nelayan.

Turut disampaikan, Bantuan Program Peningkatan Keupayaan Pengeluaran Syarikat daripada Jabatan pertanian Negeri Sabah kepada Pengurus AR Aqua Enterprise dan bantuan insentif di bawah Program Pembangunan Ketam Bakau Berasaskan Komuniti daripada Jabatan Perikanan Sabah kepada lima penerima.

Di samping itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Penyu, Norsalbihan Salleh juga mengiringi Arifin menyampaikan bantuan sara hidup nelayan berjumlah RM230,700 kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Penyu (PENEKUP) Daerah Kuala Penyu, Lamit Pilok yang mewakili 779 nelayan yang layak menerima bagi bulan Oktober 2022, selain penyampaian Anugerah Nelayan Contoh Tahun 2022 kepada Mohamad Yusuf Mohamad.

Sambutan kali ke-20 dilihat signifikan dengan penyerahan buku sejarah  “Mempakul Daerah Yang Hilang” terbitan Jabatan Arkib Negeri Sabah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarahnya, Shirly Sion dan penyerahan Peta “Titik Paling Barat Sabah” oleh Timbalan Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Bahagian Pemetaan Fotografi), Hilman Rashid kepada Arifin.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular