HomeIsu tempatan2,819 usahawan pelajar UMS jana pendapatan sampingan sambil belajar

2,819 usahawan pelajar UMS jana pendapatan sampingan sambil belajar

Read Time:2 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Usaha Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam aspek pembangunan keusahawanan pelajar melalui pelbagai inisiatif menyaksikan UMS  sehingga kini mempunyai seramai 2,819 usahawan pelajar atau dikenali sebagai SiswapreneurUMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usahawan pelajar tersebut adalah pelajar yang telah mendaftar lesen perniagaan bersama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) menerusi kempen #JomDaftar.

“Pendaftaran e-Lesen perniagaan kepada pelajar UMS telah dilaksanakan untuk membudayakan proses menubuhkan dan menjalankan perniagaan seperti di dunia luar kampus UMS.

“Secara tidak langsung, angka 2,819 itu juga menunjukkan bahawa ramai pelajar berniaga untuk menjana pendapatan sampingan sambil belajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan Bulan Keusahawanan UMS 2022 yang disempurnakan oleh isteri Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R. M Jasni.

Kasim menambah, melalui kempen #JomDaftar dan komuniti SiswapreneurUMS, pihak PKPKP dapat memantau komuniti pelajar tersebut dan memberi sokongan yang diperlukan seperti sesi coaching, sokongan untuk mengembangkan perniagaan, platform untuk berniaga dan peluang untuk mengikuti latihan kemahiran eksklusif.

“PKPKP juga turut memperkenalkan program #JomJanaPendapatan dengan menggunakan sistem ejen, dropship, atau stokis kepada pelajar yang baru berkecimpung mengenali dunia perniagaan, dan khususnya untuk menjana pendapatan sampingan ketika dalam pengajian.

“Malah PKPKP bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan platform Tamu Uptown@MyRakyat untuk menjana pendapatan dengan berniaga ataupun untuk mereka bekerja dengan penggerai luar.

Dalam menjayakan ekosistem keusahawanan juga katanya UMS mempunyai seramai 82 tenaga pengajar dengan kepakaran keusahawanan.

“Dalam tahun ini seramai tujuh pensyarah telah menerima Professional Certificate for Entrepreneurship Educators (Proceed), malah lebih daripada 10 orang pensyarah telah menyertai Training of Trainers eUsahawan tahap 1 bersama MDEC.

“Tenaga pengajar memainkan peranan yang penting bagi membimbing pelajar UMS untuk mengembangkan idea dan juga perniagaan.

“Mengambil salah satu contoh, hasil daripada bimbingan salah seorang staf PKPKP UMS iaitu Awang Nasip Yonos, perniagaan keusahawanan sosial Burger Bae telah meraih jualan tahunan sebanyak RM90,000 semasa PKP dan sehingga kini mempunyai 10 cawangan di Sabah,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Norlidah dalam ucapan perasmiannya berkata, pembudayaan dan pemerkasaan keusahawanan kepada semua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) merupakan inisiatif yang baik bagi mengatasi masalah pengangguran.

Katanya, budaya keusahawanan perlu disuntik dalam kalangan pelajar IPT pada peringkat awal lagi.

“IPT boleh mengenal pasti pelajar yang mempunyai bakat atau minat dalam sesuatu, dan dengan bimbingan pensyarah dan kakitangan universiti, pelajar dapat menggunakan bakat dan minat tersebut untuk menjana pendapatan semasa dalam pengajian.

“Usaha seperti ini dapat membantu mempertingkatkan nilai kebolehpasaran pelajar sebagai seorang graduan universiti dan mengembangkan karier keusahawan setelah tamat belajar.

“Secara tidak langsung masalah pengangguran dapat diatasi kerana melalui keusahawanan, graduan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat dan bukan lagi mengharapkan peluang pekerjaan daripada majikan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara,” katanya.

Ujar beliau, program sebegini diharap dapat diteruskan setiap tahun dan diadaptasi dalam program-program keusahawanan pada masa depan, dan menjadi panduan kepada semua IPT dalam melestarikan agenda keusahawanan di IPT.

Pada majlis tersebut, Norlidah turu menyampaikan beberapa anugerah kepada penerima, antaranya Anugerah Fakulti Terbaik (Keusahawanan), Anugerah Ikon Usahawan Terbaik (Graduan), Anugerah Ikon Usahawan Terbaik (Pelajar), Pertandingan Tik Tok Challenge, Pertandingan Business Idea Pitching (Teknologi & Inovasi), dan Pertandingan Business Idea Pitching (Keusahawan Sosial).

Turut berlangsung sesi penyerahan mock cheque Unipreneur Bank Rakyat  berjumlah RM68,250 kepada UMS yang disampaikan oleh Ketua Unit Pentadbiran Pembiayaan Bank Rakyat Likas, Sah Nijan Nooh kepada Kasim yang mewakili UMS.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

80 peserta sertai Program Renjer Muda TTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya