HomeUtamaDUN Sabah : Penerima bantuan JPKA perlu melapor diri setiap tiga bulan...

DUN Sabah : Penerima bantuan JPKA perlu melapor diri setiap tiga bulan sekali

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Penerima bantuan kebajikan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah  perlu melapor diri ke pejabat kebajikan daerah masing-masing setiap tiga bulan sekali.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ianya adalah sebagai langkah kawalan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan atau terlebih bayar kepada penerima-penerima yang tidak layak atau meninggal dunia.

Katanya, sekiranya penerima bantuan gagal melapor dalam tempoh tiga bulan, sistem tersebut akan mengeluarkan nama penerima secara automatik tanpa mengambil kira sama ada penerima masih memerlukan bantuan atau sebaliknya. 

“Kementerian saya melalui JPKA mempunyai satu sistem yang mengemaskini maklumat data penerima secara automatik.

“Sistem tersebut telah dikemaskini dengan mengambil kira teguran dari Audit Negara terutamanya dalam tempoh masa pelaporan oleh penerima-penerima bantuan. 

“Proses semakan semula penerima akan dibuat selepas tamatnya tiga bulan sekiranya terdapat aduan diterima oleh Pejabat Kebajikan Daerah bagi menentukan sama ada penerima itu masih layak dan sesuai diteruskan bantuan atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Arsar Bistari (BN-Tempasuk) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Shahelmey berkata, sekiranya bekas penerima masih layak atau sesuai untuk menerima bantuan tersebut maka JPKA akan mengaktifkan semula penerima dalam sistem.

“Oleh itu, pengemaskinian data penerima dalam sistem tersebut memadai buat masa ini,” katanya.

Beliau turut menasihati kepada penerima-penerima yang menerima semua bantuan di bawah JPKA bahawa adalah amat penting bagi setiap penerima mengambil maklum tentang keperluan untuk melapor diri sebelum tamat tempoh tiga bulan.

Katanya, ia termasuklah memperbaharui permohonan bantuan mereka sebelum tamat tempoh sama ada dalam tempoh 24 bulan untuk Bantuan Kebajikan Negeri atau pun 12 bulan untuk Bantuan Kebajikan Persekutuan. – SABAH MEDIA / EAW

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular