HomeUtamaDUN Sabah : Pusat Perlindungan Sementara kanak-kanak berkeliaran, mengemis diwujudkan

DUN Sabah : Pusat Perlindungan Sementara kanak-kanak berkeliaran, mengemis diwujudkan

Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri akan mengambil langkah menyelamat dengan mewujudkan Pusat Perlindungan Sementara bagi menempatkan kanak-kanak yang berkeliaran dan mengemis di jalan raya dan lampu trafik di beberapa buah daerah di Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, Pusat Perlindungan Sementara itu akan diwujudkan di setiap daerah yang dikenal pasti di negeri Sabah.

Katanya, Pusat Perlindungan Sementara ini akan diselia oleh Kerajaan Negeri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP) dan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) serta dibantu oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 

“Pilot projek akan dilaksanakan di Kota Kinabalu di mana Kerajaan Negeri telahpun mengenal pasti sebuah rumah kerajaan yang tidak lagi didiami untuk dijadikan sebagai Pusat Perlindungan Sementara.

“Peruntukan segera sebanyak RM250,000  telahpun disediakan untuk tujuan pengubahsuaian rumah berkenaan agar bersesuaian dengan konsep Pusat Perlindungan Sementara. Pusat perlindungan ini dijangka akan mula beroperasi pada penghujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Abidin berkata, dari segi konsep, sasarannya adalah kanak-kanak Palauh secara bersama dengan penjaga atau berasingan akan diselamatkan semasa operasi yang dijalankan oleh PBT secara berjadual dan bersasar.

Katanya, kanak-kanak jalanan ini akan dihantar ke Pusat Perlindungan Sementara untuk pengasingan dalam tempoh maksima sehingga tiga bulan.

“Pusat ini akan menyediakan program khas yang menerapkan kemahiran mengenai pengurusan diri, kehidupan bermasyarakat dan pembelajaran rohani secara tidak rasmi.

“Selepas itu, kanak-kanak ini akan dikembalikan kepada ibu bapa atau penjaga apabila tempoh tiga bulan berakhir. Semasa penyerahan kembali kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga perlu melalui proses amaran kelakuan dan larangan mengulangi kesalahan,” katanya.

Katanya, tanggungjawab keselamatan di pusat ini adalah diletakkan di bawah bidang kuasa RELA yang memberikan kawalan 24 jam sepanjang pusat beroperasi, manakala tanggungjawab membuat pemeriksaan sebelum masuk dan isu-isu kesihatan adalah di bawah penyeliaan Jabatan Kesihatan sepenuhnya.

Sementara itu, Abidin berkata, pelaksanaan inisiatif ini adalah selaras dengan konvensyen berkaitan hak Kanak-Kanak 1989 (Geneva) yang menekankan hak-hak kanak-kanak untuk mendapatkan perlindungan dari sebarang keadaan yang merbahaya termasuk kemungkinan pengekploitasian terhadap kanak-kanak, serta Akta Kanak-kanak tahun 2001: Perkara 17 (k) (i) dan (ii).

Katanya,  larangan kanak-kanak terlibat dengan aktiviti meminta sedekah atau mengemis serta aktiviti yang memudaratkan kesihatan atau kebajikan kanak-kanak.

“Kerajaan sememangnya menyedari bahawa isu kanak-kanak yang berkeliaran mahupun pengemis secara keseluruhannya perlu ditangani dan kerajaan akan sentiasa berusaha mencari penyelesaian.

“Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan PBT akan terus berkolaborasi dan melaksanakan operasi bersepadu dengan agensi-agensi berkaitan seperti JPKA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lainlain agensi yang berkaitan.

“Pada masa yang sama, usaha membanteras kewujudan kelompok ini dan kegiatan mereka sudah tentunya memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh lapisan masyarakat,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah tuan rumah ATE 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular