DUN Sabah : JPKA cadang wujudkan program baharu bantu golongan daif

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) bercadang untuk mewujudkan satu program baharu dalam membantu keluarga dari golongan daif untuk kesejahteraan mereka.

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejateraan Rakyat Datuk Flovia Ng berkata, bagaimanapun program itu masih dalam proses kajian di JPKA.

Katanya, JPKA masih menyediakan bantuan kewangan bulanan kepada golongan rentan dan yang memerlukan pada masa kini.

“Antaranya seperti Skim Bantuan Am; Skim Bantuan Anak Yatim; Bantuan Warga Emas; Bantuan Kanak-Kanak; Bantuan Penjagaan OKU/ Pesakit Terlantar; Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja dan Elaun Pekerja Cacat.

“Berhubung dengan segelintir mereka yang telah dihentikan bantuan kebajikan, kemungkinan besar adalah disebabkan mereka yang tidak melapor dalam tempoh tiga bulan sekali kepada Pejabat Kebajikan Daerah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr. Daud bin Yusof (WARISAN- Bongawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Flovia berkata, selain itu bantuan dihentikan berkemungkinan mereka yang hilang kelayakan disebabkan oleh umur kanak-kanak melebihi 18 tahun untuk bantuan kanak-kanak atau mereka yang telah meninggal dunia.

Katanya, berhubung dengan isu pemohon yang masih menunggu bantuan kebajikan, jumlah peruntukan tahunan yang disediakan untuk bantuan kebajikan terutamanya untuk warga emas adalah terhad.

“Oleh yang demikian bukan semua warga emas dapat diberi pertimbangan dalam permohonan baharu mereka dan mereka perlu memenuhi syarat kelayakan permohonan serta tertakluk kepada kedudukan kewangan sedia ada yang belum ada komitmen.

“Selain daripada sistem sedia ada, Kementerian saya melalui JPKA telah membangunkan satu sistem baharu permohonan bantuan kewangan secara dalam talian (online) yang akan beroperasi pada 01 Januari 2023.

“Oleh itu bagi mereka yang memerlukan permohonan bantuan tersebut bolehlah melayari pautan ini (https://jpka.sabah.gov.my).

“Permohonan dalam talian ini disediakan untuk memberi kemudahan kepada mereka yang memerlukan bagi keselesaan dan kesejahteraan mereka,” katanya. – SABAH MEDIA / EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *