Wujudkan Majlis Daerah Kalabakan – ADUN Sebatik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri dicadang supaya mewujudkan Majlis Daerah Kalabakan bagi menyediakan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg Amir, berkata sudah tiba masanya untuk perkara itu diambil perhatian sejajar kedudukannya sebagai sebuah daerah penuh.

Katanya, dengan adanya PBT, ekonomi daerah itu akan lebih berkembang dan mampu menyumbang kepada pendapatan negeri secara keseluruhan.

“Saya juga ingin mencadangkan agar daerah Kalabakan mempunyai sebuah majlis daerah supaya dapat melonjakkan ekonomi daerah itu dan juga dapat menyumbang kepada pendapatan negeri Sabah amnya.

“Saya yakin bahawa sebagai sebuah daerah penuh dan dikelilingi oleh ladang-ladang syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), begitu juga dengan kepadatan penduduk yang semakin meningkat, sudah pastinya Pejabat Daerah Kalabakan bakal mendapat kutipan hasil yang mampu membangunkan Daerah Kalabakan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Sementara itu, Hassan turut meminta kerajaan agar memberi perhatian terhadap pembangunan infrastruktur di Pulau Sebatik agar tidak ketinggalan berbanding di bahagian pulau yang berada dalam wilayah Indonesia.

“Mewakili Rakyat DUN Sebatik dan juga mewakili setiap individu dari DUN Sebatik, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri dengan rancangan untuk pelaksanaan pekan baharu Kalabakan dan Sungai Melayu di Pulau sebatik yang pastinya memberi nafas baharu buat rakyat di DUN Sebatik.

“Namun setiap dari kita sebagai rakyat Malaysia yang mahu menjaga nama baik negara tercinta ini harus melihat kepada realiti di bumi Sebatik. Jika dibandingkan panorama Sebatik sebelah negara jiran, dengan pelabuhan bertaraf antarabangsa lima bintang yang sedang dalam pembinaan serta infrastruktur yang agak ke depan.

“Berbanding dengan apa yang ada di tanah Sebatik negara kita, pasti terdetik rasa kegusaran yang menebal. Sebagai contoh baru-baru ini, sebuah jeti kegunaan anak-anak beberapa kampung, terpaksa dirobohkan sebahagiannya atas faktor keselamatan.

“Dan di media sosial FB saya dipertanggungjawabkan oleh rakan-rakan politik setempat kerana robohnya jeti tersebut. Sedangkan hakikatnya para pegawai di pejabat DUN Sebatik dan saya sudah berusaha memastikan jeti tersebut diselamatkan dengan kapasiti kewangan terhad,” katanya.

Berikutan itu, merayu kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah yang memperolehi peruntukan RM21.88 juta pada tahun depan agar dapat membantu untuk membina jeti konkrit berskala sesuai.

Katanya, ia bukan saja memastikan kemudahan infrastruktur untuk pulau itu diperbaiki, malah mampu dibanggakan apabila orang luar dan pelancong melihat jeti di setiap kampung di pulau Sebatik.

Dalam soal ekonomi, Hassan turut mencadangkan satu program transformasi nelayan moden dilaksanakan di Sebatik melalui penyediaan geran untuk pembinaan kapal yang dianggotai lima orang nelayan secara perkongsian di bawah program bantuan yang diperuntukkan RM69.2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan.

“Pastinya dengan bot yang lebih besar, membolehkan mereka mendapatkan hasil lebih baik dan mampu menyaingi pukat tunda yang semakin rakus melangkaui zon atau kawasan yang dilarang menunda pukat mereka,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar satu usaha bersepadu diambil bagi membantu pekebun kecil sawit di kawasan pulau di seluruh Sabah, terutama di Pulau Sebatik yang mana ketika ini terpaksa menjual hasil sawit kepada syarikat swasta setempat dengan harga lebih rendah berbanding dengan harga jualan di tanah besar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *