DUN Sabah : MCMC laksana pelbagai inisiatif tingkat liputan, kualiti perkhidmatan jalur lebar

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa berusaha untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa pertama.

Pembantu Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Sabah Dato Sri Ruddy Awah berkata, pelan JENDELA bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan jalur lebar melalui inisiatif-inisiatif yang telah dikenal pasti serta mempersiapkan negara ke arah teknologi 5G. 

Katanya, pelaksanaan pelan JENDELA Fasa pertama telah pun bermula sejak September 2020 sehingga penghujung tahun 2022 yang memberi fokus kepada perluasan liputan gentian optik dan pembangunan infrastruktur digital.

Tambahnya ia termasuk pembinaan tapak 4G baru dan menaik taraf menara telekomunikasi sedia ada kepada teknologi 4G bagi meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan 4G di seluruh negara sekaligus memperbaiki mutu internet di luar bandar, penyediaan capaian gentian optik ke premis dan penyediaan jalur lebar satelit.

“Sasaran Fasa pertama adalah memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G kepada 90 peratus di kawasan yang berpenduduk. Sehingga suku pertama 2022, peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah telah meningkat kepada 88.06 peratus berbanding 73.41 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA pada suku kedua 2020. 

“Setakat suku ketiga 2022, sebanyak 154 buah daripada 611 buah menara baru yang dirancang telah siap dibina. Sebanyak 3,810 buah menara telah dinaiktaraf kepada perkhidmatan 4G daripada 3,984 buah menara yang dirancang.

“Manakala bagi inisiatif perluasan perkhidmatan jalur lebar talian tetap, sebanyak 134,116 premis daripada 251,165 premis telah disediakan sambungan gentian optik berkelajuan Gigabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Ruddy berkata, bagi memastikan capaian internet yang laju dan lancar di kawasan luar bandar dan pedalaman, Kerajaan telah melaksanakan sebanyak 138 buah projek jalur lebar satelit yang telah siap beroperasi sepenuhnya pada April 2022.

Katanya, projek-projek ini dijangka siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2022.

“Sebagai usaha melengkapkan program JENDELA, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) telah memasang kemudahan internet teknologi satelit (VSAT) di 24 lokasi.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKOMM) telah meluluskan pemasangan 300 VSAT pada tahun 2023 membuktikan hubungan erat di antara KSTI dan KKOMM dalam memastikan kesalinghubungan internet termasuk infrastruktur digital di Sabah diperkasakan. 

“Inisiatif pembangunan infrastruktur digital ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak, terutamanya di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Kerajaan Negeri untuk memudahcara proses kelulusan bagi projek-projek yang telah dirancang dan akan dilaksanakan.

“Dengan kerjasama yang erat, masalah ini dapat diatasi secara tuntas dan meletakkan kembali pembangunan jaringan komunikasi di landasan yang betul,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *