AKEPT, UMS anjur kolokium rai kepelbagaian amalan baik pengurusan bakat universiti awam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU : Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Kolokium AKEPT 2022 “Talent Development and Management” sebagai meraikan kepelbagaian amalan baik dalam kalangan pengurusan bakat universiti awam seluruh negara.

Bertempat di Eastin Hotel, Petaling Jaya, kolokium yang bertemakan Ad-Meloria yang bermaksud “Towards Better Things” menghimpunkan 87 kakitangan dari 18 universiti awam (UA) seluruh negara.

Menurut Ketua Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) UMS, Kamisah Husin, antara matlamat penganjuran program ini adalah menyediakan platform kepada UA untuk pendedahan dalam menangani cabaran terkini di samping meneroka perspektif baharu tentang pengurusan bakat dan memberi peluang pengiktirafan untuk kecemerlangan pengurusan bakat UA ke peringkat seterusnya.

“Antara pengisian program dua hari ini adalah ucaptama daripada Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail, Akademi Sains Malaysia Sabah dengan tajuk Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi Meneroka Potensi Masa Hadapan.

“Selain itu, turut berlangsung sesi perkongsian oleh Dr. Bugs Tan dari Vitrox Corp Bhd. dengan tajuk Instrumen Penilaian: Membina Nilai dan Kecekapan; sesi perkongsian oleh Adilah Junid daripada Legal and Government Affairs, Microsoft Malaysia dengan tajuk Pengurusan Bakat: Penggunaan Data Analitik; dan sesi perkongsian oleh Simon Benjamin daripada Malaysian Institute of Human Resource Management dengan tajuk Pengiktirafan Industri: Anugerah Pengurusan Sumber Manusia,” katanya.

Menerangkan lanjut, katanya ucaptama kedua disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Kepimpinan AKEPT, Azrul Izham Hamzah dengan tajuk Pelan Penggantian/Pengurusan Bakat terbaik Dalam Perkhidmatan Awam.

“Turut berlangsung forum bertajuk Amalan Pengurusan Baharu Abad Ke-21: Melihat Kecekapan Generasi Z.

“Forum yang dikendalikan Timbalan Pengarah AKEPT, Prof. Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah sebagai moderator melibatkan Timbalan Presiden Talent Corp, Nazrul Aziz;!Pengasas Bersama Dragonfire Corp. Solution Sdn. Bhd., Hanie Razaif-Bohlender; dan Pengurus Besar Kanan Sunway Group, Clayton Tan Ju Chiae sebagai pembicara,” kata Kamisah.

Pada hari kedua program pula katanya pertandingan Picing diadakan bertemakan perkongsian amalan baik pelaksanaan pengurusan bakat melibatkan 17 universiti awam, dengan UMS diwakili oleh Pegawai Psikologi Kanan, Jabatan Pendaftar, Carrie Grace Jaymess.

Picing competition tersebut dimenangi oleh peserta daripada Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), manakala tempat kedua dimenangi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan tempat ketiga dimenangi peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam pada itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor yang turut hadir pada program tersebut berkata, UMS sentiasa bekerjasama rapat dengan AKEPT dalam memperkasa sumber manusia di institusi pengajian tinggi dalam menerajui pelbagai peringkat kepimpinan.

“Hal ini kelihatan dalam pelbagai kerjasama yg melibatkan kedua belah pihak menerusi BKEPT, UMS dan kumpulan pensyarah dan kakitangan pentadbiran sebelum ini.

“Justeru, diharapkan penganjuran kolokium ini dapat mencetus idea baharu dalam kalangan peserta bagi menambahbaik dan mentransformasikan pelaksanaan pengurusan bakat kearah satu dimensi yang baharu bersesuaian dengan acuan universiti masing-masing.

“Harapan juga agar perkongsian yang diberikan sepanjang program berlangsung dapat dimanfaatkan untuk kebaikan semua universiti awam negara,” ujar beliau.

Hadir sama pada program tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *