HomeUtamaDUN Sabah : Peruntukan selenggara institusi pendidikan disetiap tahun

DUN Sabah : Peruntukan selenggara institusi pendidikan disetiap tahun

Read Time:2 Minute, 3 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan menyediakan peruntukan penyelenggaraan institusi pendidikan pada setiap tahun bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih di sekolah.

Bagaimanapun, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, peruntukan yang disalurkan bagi tujuan tersebut adalah terhad.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu merancang dan menyusun keutamaan dalam menguruskan peruntukan yang ada. 

“Secara lazimnya, pihak sekolah memohon peruntukan penyelenggaraan melalui PPD. Namun usaha pihak sekolah memohon dengan wakil rakyat masing-masing adalah inisiatif sekolah.

“Untuk makluman, JPN ada menyediakan peruntukan khas bagi bencana banjir dan lain-lain kecemasan (luar jangka). Manakala bagi kerja selenggara yang lain, JPN dan PPD melaksanakan kerja selenggara berpandukan kepada keutamaan dan peruntukan yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (STAR-Liawan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata, Kerajaan dari masa ke masa terus berusaha  untuk mempertingkatkan kualiti prasarana di sekolah.

“Untuk rekod, sejak 2020 hingga 2022 kerajaan telah memperuntukkan RM248,289,780.48 melibatkan 1,969 projek.

“Walau bagaimanapun, kerajaan menyedari masih wujud keperluan penyelenggaraan dan baik pulih di sekolah-sekolah. Untuk tahun 2023, JPN menganggarkan keperluan adalah tinggi mencecah ratusan juta ringgit, namun secara realistiknya  JPN tidak akan dapat menyediakan peruntukan kepada semua 1,297 sekolah di negeri ini.

“Justeru, JPN sentiasa meneliti dan menyusun strategi dan merancang keutamaan kerja selenggara.,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin berkata, Kerajaan negeri juga melalui Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan menyediakan beberapa inisiatif bantuan.

Katanya, antaranya ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) yang mana inisiatif ini merupakan bantuan bagi pembekalan alat-alat kelengkapan sekolah seperti komputer, mesin pencetak dan multimedia projektor, perabot, dan lain-lain peralatan sekolah.

Menurutnya, ia adalah bertujuan untuk menambahbaik suasana pembelajaran di sekolah-sekolah seluruh negeri Sabah.

“Bagi inisiatif ini Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukkan sebanyak RM 12.6 juta yang akan memberi manfaat kepada 1,500 buah sekolah. 

“Bantuan Aktiviti Guru dan Ibubapa Sabah (BAGUS) iaitu bantuan peruntukan ‘One-Off’ sebanyak  RM2,000.00 kepada setiap PIBG sekolah.  Bantuan ini, akan memberi manfaat kepada 1,500 PIBG sekolah di seluruh negeri Sabah dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM 3 juta.

“Melalui bantuan ini, Kementerian ini yakin ia dapat digunakan dengan sebaiknya untuk menambahbaik kemudahan-kemudahan di sekolah selain untuk melaksanakan aktiviti PIBG di sekolah berkenaan,” katanya.

Katanya, disamping itu, Kementerian juga merancang untuk menyediakan peruntukan bagi pembaikkan dan penyelenggaraan kecil sekolah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Kemalangan maut: Jabatan Keretapi Sabah lancar siasatan dalaman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular