HomeUtamaDUN Sabah : Pemilikan rumah PPR masih berstatus PPR Disewa

DUN Sabah : Pemilikan rumah PPR masih berstatus PPR Disewa

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Pemilikan rumah dibawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Sabah adalah masih berstatus skim PPR Disewa.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia adalah bertujuan agar golongan rakyat berpendapatan rendah mempunyai peluang yang sama untuk mendiami rumah-rumah PPR.

Katanya, rumah PPR dianggap sebagai tempat tinggal sementara sehingga mereka mampu memiliki rumah yang lain dan apabila berpindah, rumah PPR yang dikosongkan boleh disewa oleh keluarga yang lain.

“Berhubung isu penempatan mangsa kebakaran di Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Simunul, ingin saya maklumkan di sini bahawa bagi mangsa kebakaran Kampung Bangau-Bangau, kawasan penempatan semula telah dikenalpasti.

“Ianya melibatkan 233 buah rumah dengan 383 orang Ketua Isi Rumah (KIR). Maklumat ini telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pelaksana yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek penempatan semula ini.

“Manakala bagi mangsa-mangsa kebakaran Kampung Simunul, seramai 189 ketua isi rumah telah ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria secara sewa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, Majlis Perbandaran Sandakan telah pun menjalankan bancian di kawasan  setinggan belakang Petronas dan mendapati terdapat 109 buah rumah yang terlibat.

Katanya,  bilangan rumah warganegara adalah sebanyak 89 buah rumah dan sebanyak 20 buah rumah bukan warganegara.

“Pihak Majlis telah mengambil maklum dan mempertimbangkan untuk penduduk warganegara yang terlibat dengan perobohan tersebut ditempatkan di manamana PPR di daerah Sandakan tetapi pada masa ini, semua lot rumah PPR yang sedia ada telah penuh.

“Walau bagaimanapun mereka akan diberi keutamaan dalam pengisian sekiranya ada kekosongan nanti,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : Sabah siap sedia untuk Hidrogen Hijau menerusi Tenaga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya