KOTA KINABALU: Pasukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul sebagai juara Pertandingan Debat Piala Ketua Menteri Sabah 2022 yang berakhir di sini, Ahad lalu.
Dengan tajuk “Usul Bajet Sabah 2023: Satu Jajaran Yang Tepat,” UMS menewaskan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor pada pertandingan akhir sekali gus meraih hadiah wang tunai RM7,000, piala dan sijil.
UiTM Cawangan Selangor selaku pemenang Naib Juara menerima hadiah wang RM3,000, beserta piala dan sijil.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd. Arifin Mohd. Arif mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Kampus UiTM Cawangan Sabah Kota Kinabalu.
Pertandingan yang berlangsung secara dalam talian dan fizikal itu merupakan anjuran bersama Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), UiTM Cawangan Sabah, dan UMS.
Hadir sama, Pengarah IKRAR, Azrul Ibrahim, Rektor UiTM Cawangan Sabah, Prof. Madya Datuk Dr. Kadir Roseline, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin, dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) merangkap ketua juri, Prof. Madya Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul.
Sementara itu Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada pasukan debat UMS atas kejayaan cemerlang pada pertandingan tersebut.
“Kita sudah tentu merasa amat bersyukur dan bangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh para pendebat yang juga merupakan pelajar-pelajar yang sedang menuntut ilmu di UMS.
“Saya pasti, pemikiran kritis juga adalah sebahagian daripada skor yang menentukan kejayaan pendebat. Kemenangan ini pastinya memberi indikasi bahawa setelah 28 tahun UMS ditubuhkan, para mahasiswa UMS dengan didikan tenaga pengajarnya mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk menonjol dalam pelbagai bidang termasuklah acara debat.
“Pendek kata, kemenangan ini adalah salah satu hadiah kepada Ulang Tahun UMS yang ke 28 yang disambut pada setiap 24 November,” katanya.
Bertemakan Sabah Maju Jaya, pertandingan tersebut disertai 26 pasukan dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Malaysia.