Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Penglibatan secara menyeluruh masyarakat dalam mencegah penyakit buah pinggang adalah amat diperlukan.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, masyarakat juga perlu sentiasa mengamalkan amalan gaya hidup sihat khususnya dalam pemakanan yang seimbang selain mempertingkat aktiviti fizikal.
Katanya, ini termasuklah senaman yang masih merupakan langkah yang praktikal dan penting bagi menangani penyakit ini.
“Bagi mereka yang telah pun disahkan menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi; nasihat doktor perlulah dipatuhi dengan menjalani rawatan yang telah disediakan.
“Selain rawatan dialisis, alternatif rawatan bagi pesakit yang mengalami penyakit kegagalan fungsi buah pinggang serta organ-organ lain seperti jantung, paru-paru dan hati adalah melalui pembedahan pemindahan organ.
“Dianggarkan seramai 15,078 orang pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan organ dan kebanyakannya adalah pesakit buah pinggang, iaitu sekitar 15,055 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kidney Run Anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) 2022 di sini hari ini.
Kasim berkata, salah satu objektif penganjuran program itu juga adalah untuk mendapatkan dana bagi tujuan penyaluran bantuan kebajikan kepada pesakit-pesakit yang membuat rawatan di Pusat Dialisis UMS-YKN yang tergolong dalam kalangan B40 dan kategori yang tidak mampu untuk membayar kos rawatan mereka.
Selain itu katanya, objektif lain adalah memupuk kesedaran masyarakat berkenaan dengan penyakit buah pinggang yang saban tahun meningkat jumlahnya di seluruh negara.
“Saya turut difahamkan bahawa program pada hari ini dihadiri tiga orang daripada 24 orang pesakit dialisis UMS-YKN yang sama-sama menyokong program pada hari ini. Kita doakan semoga mereka cepat sembuh dan terus bersemangat,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW