BERNAMA
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
TAWAU: Sekumpulan 20 hingga 30 ekor gajah yang memasuki penempatan penduduk di Luasong di sini semalam dan videonya tular di media sosial tidak bertindak ganas, kata Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau Primus Lambut.
Beliau berkata tiada penduduk cedera dalam kejadian berhampiran sempadan Hutan Simpan Luasong itu, bagaimanapun sebuah motosikal dan sebuah kereta dirosakkan kumpulan gajah tersebut.
Katanya pihak JHL Tawau menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 9 pagi dan mengerahkan anggotanya ke kawasan berkenaan untuk melakukan pemantauan serta pengusiran haiwan liar itu.
“Kumpulan gajah itu tidak bertindak ganas, cuma seekor daripadanya yang dipercayai ketua kawanan haiwan itu kelihatan memijak motosikal yang jatuh seperti yang kita lihat dalam satu rakaman video tular,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Video berdurasi satu minit lapan saat itu memaparkan beberapa ekor gajah liar melalui hadapan rumah penduduk yang menjerit cuba menghalau haiwan tersebut dalam kejadian di Luasong terletak kira-kira 240 kilometer dari bandar Tawau.
Primus bagaimanapun menolak kemungkinan kumpulan gajah ini terlibat dalam kejadian seorang wanita warga emas maut dipijak gajah liar berhampiran kawasan Dumpas, Jalan Merota-Kalabakan, Tawau pada 23 Sept lepas.- BERNAMA