Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha yang sedang dan akan diusahakan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam memperkasa umat Islam khususnya di Sabah.
Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia termasuklah untuk menambah jumlah pendeposit seterusnya membuka akaun TH di negeri ini.
“Peratusan umat Islam yang telah membuka akaun TH di Sabah hanya sekitar 30.08 pertaus atau 498,639 orang. Manakala daripada jumlah itu, pendeposit yang telah mendaftar haji seramai 164,272 orang atau 32.94 peratus.
“Agihan zakat perniagaan daripada TH kepada Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) saban tahun semakin meningkat dan pada tahun 2021 berjumlah RM 2,149,449. Semakin banyak simpanan di TH Sabah, semakin besar juga zakat yang akan dikeluarkan oleh TH bagi manfaat asnaf di Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Kupi-Kupi Santai bersama pendeposit TH di sini hari ini.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Datuk Abu Bakar Titingan; Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Said dan Pengarah TH Sabah Yusdi Nasip.
Mohd Arifin berkata, pihaknya juga akan terus berusaha mencari jalan terbaik untuk mengurus dengan bijak bagi membantu umat Islam di Sabah mendapat peluang menunaikan ibadah haji yang menjadi salah satu objektif kepada pentingnya mendeposit di TH.
“Usaha untuk merealisasikan semua umat Islam di Sabah membuka akaun TH adalah kemestian bagi kita semua kerana haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT turut memudahkan segala urusan TH saban tahun terutama dalam menyantuni para-Jemaah Haji negara sehingga menjadi model ikutan banyak negara Islam seluruh dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Arifin turut berharap agar pihak TH meneruskan usaha gigih untuk menyebarkan dakwah haji agar 100 peratus umat Islam di Sabah dapat membuka akaun TH dan mendaftar haji.
“Saya turut menyeru agar semua umat Islam di Sabah untuk sentiasa memberikan sokongan berterusan kepada TH kerana saya yakin dan percaya semua umat Islam pastinya berhasrat untuk merealisasikan impian menunaikan haji di tanah Suci Makkah suatu hari nanti,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW