HomeEkonomiGLOPEC meterai perjanjian kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders...

GLOPEC meterai perjanjian kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China

Read Time:3 Minute, 29 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Global Entrepreneur One Stop Centre (GLOPEC), hari ini melakar satu lagi peristiwa penting untuk melebarkan sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa melalui platform e-dagang dengan memeterai perjanjian kerjasama dengan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China.

Perjanjian kerjasama ini merupakan hasil dari respons positif terhadap ujian pasaran yang dijalankan di United Kingdom dan China yang telah menunjukkan minat yang tinggi terhadap barangan keluaran Sabah.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama di antara GLOPEC dan OMalaysia United Kingdom dan HYT Cross Borders China telah diadakan di Sutera Harbour Resort di sini hari ini.

Menandatangani perjanjian itu, OMalaysia United Kingdom diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Simon Suresh manakala HYT Cross Borders China diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kyle Keah.

Majlis ini merupakan manifestasi inisiatif kerjasama yang merupakan sebahagian daripada pelan perniagaan strategik GLOPEC untuk tahun 2023.

Suku pertama 2023 akan menyaksikan GLOPEC melebarkan sayap perniagaannya ke United Kingdom, China, Korea dan Timur Tengah.

GLOPEC ialah satu usaha kerjasama strategik di antara Kumpulan Yayasan Sabah melalui anak syarikat milik penuhnya Kristal Handal Sdn Bhd dan TERAJU. Ia ditubuhkan untuk mengurus dan mengimplementasi struktur perkembangan global PKS Sabah untuk menerokai pasaran antarabangsa.

Sebanyak 54 usahawan telah mendaftar di bawah GLOPEC dan mewakili lebih 60 jenis produk dan lebih dari 300 unit penyimpanan stok yang sedia untuk dipasarkan ke United Kingdom, Jerman, Perancis, Belanda, China, Thailand, Indonesia, Singapura dan Korea.

Pengarah GLOPEC Azmi Aziz berkata, beliau melihat produk-produk Sabah ini mempunyai potensi yg besar dan beliau yakin perkara itu selepas menyertai misi-misi perdagangan antarabangsa seperti di London, Paris, Thailand dan Korea.

“Peluang untuk produk kita ini begitu besar sekali, kita perlu mengubah cara kita melakukan sesuatu, maknanya kalau kita ingin melihat produk-produk Sabah atau produk-produk tempatan ini pergi ke luar negara, kita mesti tolong mereka.

“Kerajaan perlu membantu mengikut fasa bagi memastikan bahawa produk-produk tempatan ataupun usahawan-usahawan tempatan ini tidak ketinggalan,” katanya semasa ditemui pemberita selepas majlis itu.

Azmi turut menekan bahawa usahawan-usahawan itu perlu dibantu supaya mereka lebih peka dengan keperluan untuk bagaimana memasarkan dan membawa produk-produk mereka sendiri ke pasaran antarabangsa.

“Untuk permulaan kita hanya membantu, tapi kita mengharapkan dengan ada bantuan sedikit daripada kerajaan ini, usahawan-usahawan tempatan kita akan lebih berkebolehan, lebih berani untuk pergi ke pasaran luar negara,” ujarnya.

Sementara Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OMalaysia United Kingdom, Simon Suresh berkata, beliau amat teruja dengan pelancaran Projek P100 pada bulan Januari 2023.

“OMalaysia akan meluaskan kempen dalam talian dengan menawarkan produk Malaysia kepada 100 buah kedai di United Kingdom pada tahun 2023, dan GLOPEC merupakan salah satu dari peserta penting di dalam kempen ini.

“Usaha ini tidak akan berjaya tanpa komitmen tinggi dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh Azmi Aziz, Pengarah GLOPEC serta pasukannya,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2016, OMalaysia pada mulanya dikenali sebagai Halal Street United Kingdom. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Simon Suresh merupakan rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom, telah menubuhkan satu platform pasaran dalam talian untuk penjual Malaysia memasarkan produk mereka ke pasaran United Kingdom.

Halal Street United Kingdom kemudiannya melalui proses penjenamaan semula kepada OMalaysia pada tahun 2020. Pada hari ini, OMalaysia merupakan sebuah jenama terkemuka di United Kingdom yang mewakili barangan buatan Malaysia yang terbaik, unik dan bermutu tinggi.

Manakala Pengarah Urusan HYT Cross Borders China Dato Danny Tan berkata, China merupakan sebuah pasaran yang amat luas dan dengan pelbagai barangan yang ditawarkan oleh GLOPEC, saya pasti HYT dan GLOPEC yang diketuai oleh Azmi Aziz, akan dapat menguasai pasaran China tidak lama lagi.

HYT Cross Borders China telah ditubuhkan pada tahun 2017 dengan matlamat untuk membantu peniaga Malaysia meluaskan perniagaan mereka ke China. Sejak itu, HYT telah membuka peluang kepada banyak jenama barang Malaysia untuk berurusan dengan 788 juta pengguna dalam talian China, melalui platform e-dagang rentas sempadannya.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman mewakili Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, dalam ucapannya berkata, beliau amat berbangga apabila mengetahui bahawa barang buatan Sabah kini dikenali dipasaran antarabangsa dan berharap dapat menyaksikan peningkatan jualan tidak lama lagi.

“Justeru, saya ucapkan tahniah kepada pasukan GLOPEC, semua para usahawan, rakan kerja strategik antarabangsa serta rakan kerjasama yang baru,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pendidikan berlandaskan Al-Quran teras lahir modal insan perkasa bangsa, negara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya