469 PATI Filipina dihantar pulang ke negara asal

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 46 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

SANDAKAN : Seramai 469 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Filipina telah dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan untuk balik ke negara asal di sini semalam.

Ia merupakan Program Pemindahan Tahanan  PATI yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM Sabah) bagi Siri 20 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun ini.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, semua PATI yang dipindahkan adalah melibatkan seramai 385 orang lelaki; 60 orang perempuan dan 24 orang kanak-kanak.

Katanya, kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau  penjaga masing-masing.

“Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

“Bermula 1 Januari 2022 sehingga 8 Disember 2022, JIM Negeri Sabah telah melaksanakan pemindahan warga asing pelbagai warganegara seramai 5,394 orang melalui udara, laut dan darat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sitti Saleha berkata, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Negeri Sabah) terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.

Katanya, semua agensi penguatkuasaan di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Negeri Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah.

“Jabatan ini ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pengusiran ini khususnya Kerajaan Negeri Sabah, pihak Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur, PDRM, ESSCOM, Lembaga Pelabuhan Dan Dermaga Negeri Sabah, Jabatan Laut Malaysia Negeri Sabah, APMM, ATB2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Negeri Sabah,” katanya.

Tambahnya, JIM Negeri Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *