
Lebih 2,000 peserta hadiri program Hijrah Cinta 3.0 di Sabah
Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
KOTA KINABALU : Sambutan dan permintaan yang amat menggalakkan khususnya daripada golongan wanita di negeri ini untuk menyertai program ilmu telah berjaya menarik minat lebih 2,000 peserta pada program Hijrah Cinta 3.0.
Program anjuran Pertubuhan Kasih Neelofa (PKN) itu merupakan yang pertama dilaksanakan di Sabah selain ianya turut terbuka kepada orang ramai.
Timbalan Presiden PKN Noor Razlina Noor Mohamed berkata, program seumpama itu sebelum ini turut diadakan d Semenanjung namun hanya tertumpu kepada rakan selebriti dan rakan-rakan terdekat.
“Jadi pada program kali ini untuk edisi ketiga kita laksanakan secara terbuka untuk umum dan kita juga telah menjemput penceramah iaitu Ustazah Dr Oki Setiana Dewi dan Usatzah Asni Mansor.
“Alhamdullilah, program di Sabah berjaya mendapat sambutan luar biasa. Pada permulaan, kami hanya menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta namun kami buat secara walk-in seramai 100 orang, bermakna semuanya ada 2,100 orang peserta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Noor Razlina berkata, program Hijrah Cinta itu merupakan pengenalan majlis ilmu berbentuk Tausiyah kepada umum dan ianya dikhususkan kepada golongan wanita sahaja.
Katanya, program itu turut diserikan dengan persembahan artis jemputan selain diiringi dengan Qasidah daripada kumpulan Rahmatul Ihsan.
“Program ini memberi peluang kepada setiap peserta yang hadir mendapatkan ilmu daripada setiap panelis jemputan dimana setiap topik pengisian adalah bersesuaian dengan isu-isu semasa yang dekat dengan masyarakat.
“Sudah tentu harapan kita adalah agar setiap peserta yang hadir dapat merasai kenikmatan nurani mengikuti majlis ilmu. Semoga setiap pengisian dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri dan berkongsi ilmu kepada rakan lain,” katanya. – SABAH MEDIA