KPPA ditamat perkhidmatan berkuat kuasa semalam, kata KSN

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:46 Second

KUALA LUMPUR — Perkhidmatan Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) telah ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Menurut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, penamatan perkhidmatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Tambahnya, Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980, yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara,” kata Zuki dalam kenyataan hari ini, sambil menyatakan penghargaannya terhadap Shafiq atas jasa dan perkhidmatannya sebagai penjawat awam.

Shafiq, 58, sebelum ini dilaporkan terbabit dengan kontroversi mengherdik seorang pegawai imigresen di tempat awam. Satu jawatankuasa tertinggi kemudiannya ditubuhkan untuk menjalankan siasatan.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun, Shafiq telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *