HomeUtamaJumlah mangsa banjir meningkat lebih 5,300 orang

Jumlah mangsa banjir meningkat lebih 5,300 orang

Read Time:2 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di lima negeri meningkat kepada 5,385 orang daripada 1,551 keluarga, sehingga jam 4 petang tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata semua mangsa kini ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) di 17 daerah yang terjejas di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Katanya, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat yang diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sudah mula diaktifkan sejak awal pagi tadi.

Semua PKOB Negeri diminta memaklumkan kepada PKOB Pusat berhubung sebarang keperluan dan isu yang memerlukan intervensi segera bagi memastikan pengurusan tindak balas berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Armizam memaklumkan, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada jam 2.30 petang, Luruan Monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember ini, yang berpotensi membawa angin kencang, ombak besar dan hujan berterusan di negeri utara, timur Semenanjung dan timur Sabah serta angin kencang dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

“Justeru, METMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan, membabitkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga 21 Disember 2022.

“Selain itu, Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi perairan Laut China Selatan pula dijangka berlaku sehingga 22 Disember 2022,” katanya.

Sementara itu, Armizam berkata, laporan yang diterima PKOB Pusat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) pada jam 2 petang tadi melaporkan, terdapat 51 lokasi banjir yang mengalami kejadian cerun/jalan runtuh dan mendap serta kerosakan jambatan.

“Kejadian ini berlaku di empat daerah di Kedah, satu di Perak, satu di Selangor, empat di Negeri Sembilan, 16 di Kelantan, 18 di Terengganu, empat di Pahang dan tiga di Johor, yang membabitkan 18 jalan Persekutuan dan 33 jalan negeri.

“Keadaan semasa dan operasi secara keseluruhan berjalan dengan lancar, terutama di negeri yang sedang mengalami banjir, khususnya di Kelantan dan Terengganu yang sedang mengalami peningkatan intensiti hujan,” katanya.

Beliau turut meminta penduduk, terutama di kawasan yang dilanda banjir supaya berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web http://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: PubliclnfoBanjir dan twitter@JPS InfoBanjir, manakala bagi maklumat cuaca, boleh memuat turun aplikasi myCuaca di Google Play dan App Store untuk maklumat cuaca yang terkini dan sahih daripada METMalaysia.

Semua pihak juga diingatkan supaya peka dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan segera berpindah jika diarahkan (info lanjut: https://publicinfobanjir.water.gov.my).

Untuk makluman dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) JKR di talian 03-26107727 atau rujuk laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my atau Twitter @CSFJ_JKR.

Maklumat lanjut, layari portalbencana.nadma.gov.my/ms/laporan, Facebook @Agensi Pengurusan Bencana Negara dan Twitter @NADMA Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

CIS serah zakat perniagaan RM100,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya