HomeUtamaLengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran - Tun Juhar

Lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran – Tun Juhar

Read Time:1 Minute, 45 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

KOTA KINABALU : Rakyat khususnya di negeri ini diseru untuk terus berusaha dengan lebih gigih selain melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia adalah bagi memastikan rakyat sentiasa bersedia untuk menghadapi apa juga cabaran yang mendatang.

“Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber selain menyediakan banyak peluang dan potensi untuk diterokai.

“Potensi dan penerokaan ini sudah tentu lebih mudah direalisasikan untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat jika kita memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan.

“Marilah kita berganding bahu untuk melangkah ke tahun baharu 2023 ini dengan komitmen yang tinggi untuk negeri tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Natal 2022 dan Tahun Baharu 2023 di Istana Seri Kinabalu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tun Juhar turut menyeru rakyat untuk sentiasa mengekalkan pengamalan penjagaan kendiri semasa menyambut musim perayaan.

Katanya, rakyat juga turut dinasihatkan agar terus berhati-hati dan tidak membuka ruang kepada penyebaran virus COVID-19.

“Kita perlu patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa agar semua terlindung daripada ancaman COVID-19.

“Saya juga ingin menasihati seluruh lapisan masyarakat sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan orang lain, khususnya ketika berada di jalan raya semasa musim perayaan ini.

“Selain itu, kita harus sentiasa mengamalkan konsep berbelanja secara berhemah apatah lagi perbelanjaan keluarga untuk persediaan persekolahan anak-anak menjelang pembukaan sesi persekolahan kelak,” katanya.

Tun Juhar turut merakamkan ucapan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini sama ada oleh agensi-agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang terlibat.

“Usaha gigih dan berterusan dalam membendung penularan Covid-19 membolehkan negara memasuki fasa peralihan ke endemik, seterusnya membolehkan kerajaan kembali memberi tumpuan kepada usaha-usaha pemulihan dan pembangunan,” katanya.

Dalam perutusannya, Tun Juhar sekeluarga mengucapkan selamat menyambut Hari Natal dan Tahun Baharu 2023 kepada seluruh rakyat di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS utamakan kebajikan pelajar, sedia bantu Crisnanalina daftar pengajian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular